Pengurusan kanan SEB kena undur sebelum suntikan RM1.1 bilion, kata PM

Pengurusan kanan SEB kena undur sebelum suntikan RM1.1 bilion, kata PM

Anwar Ibrahim berkata, kerajaan letak beberapa syarat perlu dipenuhi SEB sebelum beri modal pinjaman.

sapura energy office
Kelmarin, SEB mengumumkan memperoleh pelaburan RM1.1 bilion, menerusi langganan saham pinjaman RCLS pada nilai nominal oleh MDH.
PUTRAJAYA:
Kerajaan meletakkan beberapa syarat antaranya meminta pengurusan kanan Sapura Energy Berhad (SEB) meletak jawatan sebelum memberikan suntikan RM1.1 bilion model pinjaman kepada syarikat terbabit, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Berucap pada perjumpaan bulanan warga Kementerian Kewangan, Anwar menegaskan langkah itu bukan untuk menyelamatkan syarikat besar atau pengurusan tertingginya seperti didakwa pihak tertentu.

Sebaliknya, tegas Anwar, tindakan itu untuk membantu 2,000 vendor yang 80% daripadanya adalah pengusaha Bumiputera selain memastikan syarikat minyak dan gas (O&G) itu tidak bankrap dan terus beroperasi dalam industri hiliran supaya tidak bergantung kepada pengusaha asing.

“Pengerusi dan pengurusan kanan mesti keluar dan diganti dengan pengurusan baharu. Itu syarat kita,” katanya yang berharap pentadbiran baharu dapat menjana keuntungan untuk membayar balik modal pinjaman terbabit.

“Apakah ini dana hangus? Tidak…suntikan ini dijadikan modal pinjaman supaya pengurusan baru dapat menguruskan syarikat lebih baik dan membayar semula dana suntikan RM1.1 bilion.

“Bukan suntikan dana tetapi dilaksanakan dalam bentuk pinjaman,” katanya yang juga menteri kewangan.

Kelmarin, SEB mengumumkan memperoleh pelaburan RM1.1 bilion, menerusi langganan saham pinjaman boleh tebus boleh tukar (RCLS) pada nilai nominal oleh Malaysia Development Holdings Sdn Bhd (MDH).

MDH, sebuah syarikat tujuan khas Menteri Kewangan (Diperbadankan), menetapkan hasil langganan itu hanya akan digunakan untuk penyelesaian atau pembayaran liabiliti yang terhutang oleh SEB Group kepada penyedia perkhidmatan Malaysia yang beroperasi dalam atau menyokong sektor minyak dan gas di Malaysia.

Permodalan Nasional Berhad (PNB) semalam memaklumkan pelaburan dalam SEB oleh MDH bukan ‘bailout’ kerajaan.

Pemegang saham utama SEB itu menjelaskan dana digunakan secara langsung dan hanya untuk membayar pembekal tempatan, tanpa memberi manfaat kepada mana-mana pemegang saham SEB atau pemiutang kewangan sedia ada.

Mengulas lanjut, Anwar menegaskan keputusan itu bukan mudah diambil sebaliknya selepas melakukan audit forensik untuk mengenal pasti permasalahan dalam syarikat berkenaan.

“Kita tak bagi satu sen pun kepada syarikat sebaliknya untuk 2,000 vendor yang telah beri sumbangan…bagaimana harus mereka dihukum.

“Dalam dunia politik, (musuh akan kata) kalau Anwar tak tolong Anwar khianat dan tak bantu Bumiputera…dia hanya jadi jurucakap DAP,” katanya.

Menjawab kritikan yang bantuan diberikan itu tidak seiring dengan pendiriannya membantah ‘bailout’ ketika dalam pembangkang, Anwar menegaskan beliau konsisten terhadap perkara itu.

“Bila saya kritik dan tegur Sapura Energy empat tahun lalu.. apa yang saya sebut? Jangan bailout sebab pengurusan masih di sana…pendapatan mereka masih tinggi berjuta-juta dan mana forensik auditnya.

“Percayalah keputusan ini tidak mudah kerana saya antara yang menentang keras bailout kerana pengalaman saya daripada awal dulu 1997-1998 iaitu menentang bailout kepada syarikat perkapalan yang melibatkan anak perdana menteri,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.