NGO bidas Azam dedah identiti pemberi maklumat skandal perlombongan

NGO bidas Azam dedah identiti pemberi maklumat skandal perlombongan

Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme menyatakan Azam Baki telah melakukan kecuaian jelas.

C4 berkata beberapa media telah mula menyiarkan nama penuh pemberi maklumat tersebut manakala beberapa sumber dalam talian turut menerbitkan gambarnya serta butiran mengenai pekerjaannya.
PETALING JAYA:
Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) mengkritik ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana mendedahkan identiti individu didakwa sebagai pemberi maklumat berkaitan skandal perlombongan di Sabah.

Kumpulan antirasuah itu dalam kenyataan berkata ‘kecuaian yang jelas’ ditunjukkan Azam Baki bertentangan dengan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.

Katanya, undang-undang itu mentakrifkan ‘maklumat sulit’ termasuk identiti pemberi maklumat yang secara jelas merangkumi nama penuhnya.

“Mendedahkan namanya secara langsung kepada pihak media sebelum perlindungan statutori diberikan kepada pemberi maklumat adalah keputusan tidak masuk akal.

“Ia menjejaskan sebarang perlindungan mungkin diterimanya pada masa depan,” katanya.

Pusat itu turut mendakwa bahawa beberapa media telah mula menyiarkan nama penuh pemberi maklumat tersebut manakala beberapa sumber dalam talian turut menerbitkan gambarnya serta butiran mengenai pekerjaannya.

C4 berkata, tindakan menamakan individu yang didakwa sebagai pemberi maklumat itu menunjukkan kelemahan dalam rangka perlindungan pemberi maklumat di Malaysia serta menunjukkan keperluan mendesak untuk merombak sistem tersebut.

“Kami berharap kerajaan melihat insiden ini sebagai satu pengajaran mengenai kelemahan yang wujud dalam sistem perlindungan pemberi maklumat serta pentadbiran SPRM itu sendiri.”

Selasa lalu, penasihat Lawyers for Liberty dan bekas ketua pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya, berkata beliau telah menerima bukti daripada pemberi maklumat terbabit yang hanya dikenali sebagai Albert.

Bagaimanapun, beliau enggan menyebut nama keluarganya atas faktor keselamatan.

Namun, Malaysiakini melaporkan bahawa Azam telah mendedahkan nama keluarganya kepada media dalam satu sidang akhbar di Kota Kinabalu, Sabah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.