Kit Siang pertahan Kok berhubung siasatan bekas pegawai

Kit Siang pertahan Kok berhubung siasatan bekas pegawai

Veteran DAP percaya Teresa Kok tidak bertanggungjawab atas penahanan dua bekas pegawainya oleh SPRM.

lim kit
Veteran DAP Lim Kit Siang berkata, beliau percaya Teresa Kok perjuang ‘integriti, akauntabiliti, tanggungjawab, tadbir urus yang baik dan demokrasi’.
PETALING JAYA:
Veteran DAP Lim Kit Siang mempertahankan naib presiden parti, Teresa Kok selepas beliau membangkitkan kebimbangan mengenai prospek pemilihan semulanya menganggotai Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC), berikutan siasatan terhadap bekas pegawainya.

Lim berkata, malang sekiranya siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meredam peluang Kok pada pemilihan parti 16 Mac.

Semalam Kok dilaporkan berkata, siasatan SPRM terhadap dua bekas pegawainya boleh menjejaskan peluangnya pada pemilihan parti kerana ramai yang tidak berpuas hati berhubung penahanan mereka, yang didakwa meminta dan menerima rasuah RM500,000.

Kok berkata, perwakilan DAP yang mengenali salah seorang bekas pegawai yang telah berkhidmat dengannya selama sedekad mungkin tidak mengundinya.

“Ramai yang tidak dapat terima apabila saya pecat dan tamatkan perkhidmatannya tahun lepas selepas saya mendapati (wujudnya) salah laku di belakang saya.

“Peruntukan Parlimen saya diseleweng, dan sejak itu, beberapa ahli DAP Seputeh tidak puas hati dengan saya,” katanya, lapor Malaysiakini.

Minggu lepas, Kok berkata, beliau dipersalahkan secara tidak adil oleh beberapa ahli parti dan ahli keluarga bekas kakitangannya atas keputusan SPRM menyoal dua bekas pegawainya.

Menjawab tuduhan di media sosial mengenai dakwaan beliau terlibat, Ahli Parlimen Seputeh itu berkata, bukan beliau mahupun kakitangannya yang membuat laporan kepada agensi antirasuah itu.

Lim hari ini berkata, beliau telah berbincang dengan Kok tentang perkara itu, dan Kok telah memberitahunya keseluruhan cerita.

“Saya percaya Kok tidak melaporkan perkara itu kepada agensi antirasuah dan tidak bertanggungjawab atas penahanan dua bekas pegawainya,” katanya.

Lim juga berkata, beliau percaya Kok memperjuangkan ‘integriti, akauntabiliti, tanggungjawab, tadbir urus yang baik dan demokrasi’.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.