
Saksi pembelaan kelapan itu berkata kekecewaan tersebut berpunca daripada tindakan mangsa yang didakwa mencuri wang rakan lain, walaupun mereka bersahabat baik.
“Saya kecewa,” katanya semasa pemeriksaan utama oleh peguam Vivian Thien dalam perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Duncan Sikodol.
Menerusi pernyataan saksinya, dia mengaku telah menumbuk bahagian belakang dan menendang paha Nazmie.
Pada 28 Feb lalu, mahkamah memerintahkan 13 remaja berusia 16 hingga 19 tahun membela diri atas pertuduhan bersama-sama membunuh Nazmie di Kolej Vokasional Lahad Datu pada 9 malam 21 Mac hingga 7.38 pagi 22 Mac tahun lalu.
Ketika disoal balas oleh peguam Ram Singh, remaja itu berkata selepas memukul Ijat, dia sempat meminta maaf kepada mangsa.
Ram: Kenapa kamu tidak tolong Ijat?
Tertuduh keenam: Saya betul-betul kecewa.
Menjawab soalan peguam Kamarudin Mohmad Chinki, saksi itu berkata selepas dipukul dan ditendang, Nazmie masih kuat serta mampu berjalan.
Tertuduh keenam juga bersetuju dengan cadangan Timbalan Pendakwa Raya Ng Juhn Tao bahawa dia tidak melihat sendiri mangsa mencuri wang tertuduh ketiga dan keempat.
Semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta tidak lebih 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla, Juhn Tao dan Batrisyia Mohd Khusri.
Seramai lapan daripada 13 remaja itu diwakili peguam Ram Singh, Kamarudin dan Chen Wen Jye manakala lima lagi diwakili peguam Mohamed Zairi, Abdul Ghani Zelika, Vivian Thien, Jhesseny P Kang serta Kusni Ambotuwo.