
Katanya, itu adalah hasil perbincangan dengan Presiden Umno Zahid Hamidi baru-baru ini.
“Ia adalah pertemuan yang baik dan boleh dikatakan berlangsung secara terbuka,” katanya selepas majlis pelancaran platform Madani Digital Trade.
“Kami bersetuju bahawa setiap keputusan perlu dibuat dengan berhati-hati demi memastikan ia adalah keputusan yang terbaik untuk saya dan juga parti.”
Semalam, Zahid berkata beliau menasihati Tengku Zafrul tidak terburu-buru dalam membuat keputusan untuk keluar Umno.
Timbalan perdana menteri berkata, beliau bertemu Tengku Zafrul minggu lalu dan mengingatkan mengenai peranan penting beliau dalam Umno termasuk ketua bahagian Kota Raja dan ahli Majlis Kerja Tertinggi.
Tengku Zafrul berkata, beliau menerima nasihat Zahid dan bersetuju tidak tergesa-gesa membuat keputusan.
“Saya telah berjumpa dengan presiden dan kini, saya ingin fokus tugas sebagai menteri,” katanya memaklumkan segala pertimbangan politik akan difikirkan lebih mendalam.
Awal tahun ini, timbul spekulasi mendakwa Tengku Zafrul merancang untuk menyertai PKR dalam usaha jelas untuk menjadi menteri besar Selangor seterusnya.
Spekulasi semakin kuat selepas Presiden PKR Anwar Ibrahim mengesahkan perbincangan sedang dijalankan untuk Tengku Zafrul menyertai parti itu.
Pada masa sama, Tengku Zafrul berkata beliau akan memutuskan mengenai masa depannya dengan Umno selepas berbincang dengan Zahid.