Faisal Halim kembali ke skuad Harimau Malaya

Faisal Halim kembali ke skuad Harimau Malaya

Pemain sayap itu dipanggil menjalani latihan pusat sekali gus menamatkan penantian hampir setahun tidak bersama skuad kebangsaan.

faisal halim
Faisal Halim dipanggil untuk memperkasa Harimau Malaya menjelang perlawanan menentang Nepal 25 Mac ini. (Gambar Facebook Selangor FC)
PETALING JAYA:
Pemain sayap lincah Faisal Halim kembali tersenarai dalam skuad Harimau Malaya, menjelang perlawanan pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, Johor, 25 Mac ini.

Kejutan itu dilakukan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam sidang media hari ini, semasa mengumumkan senarai 27 pemain dipanggil Ketua Jurulatih Peter Cklamovski bagi menjalani latihan pusat, sekali gus menamatkan penantian hampir setahun pemain itu tidak bersama skuad kebangsaan.

Bagaimanapun, menerusi senarai tersebut, tiada sebarang penampilan pemain warisan baharu akan memperkuatkan skuad Harimau Malaya.

Pemain yang tidak dipanggil untuk saingan Piala Persekutuan Bolasepak Asean(AFF) 2024 juga kembali membarisi skuad kali ini antaranya Dion Cools, Natxo Insa, Mohd Afiq Fazail, Romel Morales, Arif Aiman Hanapi, Muhammad Akhyar Abdul Rashid dan Muhammad Safawi Rasid.

Manakala tonggak yang bermain pada Piala AFF 2024 seperti Paulo Josue, Endrick dos Santos, Muhammad Safwan Mazlan, Muhammad Haqimi Azim Rosli dan Stuart Wilkin pula dikekalkan.

Antara pemain baharu dipanggil kali ini ialah pemain pertahanan Selangor FC Ahmad Zikri Mohd Khalili.

Skuad Harimau Malaya akan berlatih selama lapan hari di Johor Bahru sebelum aksi pembukaan menentang Nepal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.