Budak 6 tahun hilang hampir 45 minit dibawa lari pencuri kereta

Budak 6 tahun hilang hampir 45 minit dibawa lari pencuri kereta

Kanak-kanak perempuan itu kemudian dijumpai selamat bersama kenderaan dicuri kira-kira 2km dari tempat kejadian, menurut polis.

Ketua Polis Shah Alam Mohd Iqbal Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati suspek seorang warga tempatan dipercayai berniat mencuri kenderaan itu, namun terkejut selepas mendengar tangisan kanak-kanak. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang kanak-kanak berusia enam tahun ‘dilarikan’ hampir 45 minit setelah kereta ibunya dipercayai dicuri di sebuah taska di Setia Alam semalam.

Menurut Ketua Polis Shah Alam Mohd Iqbal Ibrahim, dalam kejadian pada 6.55 pagi itu, kanak-kanak perempuan itu dibiarkan tidur di dalam kereta, yang tidak berkunci dan enjinnya masih hidup, ketika ibunya menghantar adiknya ke taska.

Beliau berkata, ibu mangsa, seorang guru tadika berusia 34 tahun, sedar keretanya tiada, dengan anak sulungnya masih berada dalam kenderaan, setelah selesai menghantar anak keduanya.

“Polis menerima panggilan daripada orang awam mengenai kejadian ini pada 7.06 pagi. Susulan itu usaha mengesan kereta (tersebut) giat dijalankan dan dengan bantuan orang awam, berjaya dijumpai semula pada 7.45 pagi.

“(Kanak-kanak perempuan itu) juga dijumpai semula dalam keadaan selamat dan tidak mengalami kecederaan bersama kereta yang dicuri berdekatan kawasan pangsapuri yang jaraknya lebih kurang 2km dari lokasi kejadian,” katanya, lapor Bernama.

Mohd Iqbal berkata, siasatan awal mendapati suspek seorang warga tempatan dipercayai berniat mencuri kenderaan itu, namun terkejut selepas mendengar tangisan kanak-kanak.

Katanya, suspek kemudian memberhentikan kereta dan melarikan diri bersama beg tangan milik wanita itu, yang mengandungi kad bank, dokumen pengenalan diri serta dua unit telefon bimbit bernilai lebih kurang RM2,000.

Sehubungan itu, Mohd Iqbal meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Khamsia Hung Mei Shuang di talian 016-8119560, bagi membantu siasatan bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.