
Presiden Rosli Sulaiman berkata, pihak gabungan telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 24 Feb dan polis pada 13 Mac, namun mendakwa tiada sebarang tindakan dibuat.
“Perkara ini berlarutan bertahun-tahun. Malah, kami ada menghantar surat kepada Kementerian Wilayah Persekutuan, namun tidak mendapat jawapan balas,” katanya dalam sidang media.
Rosli berkata, hasil siasatan pihak gabungan mendapati ada broker bekerja dengan kartel seperti didakwa tiada dalam senarai rasmi vendor yang diberi kuasa.
Beliau mendakwa, broker dikenali ‘Jai’ menjual tapak pada harga RM10,000 hingga RM12,000, manakala seorang lagi dikenali ‘Mike’, dilapor menjual tapak pada harga RM12,000.
“Kami juga dapati daripada 216 tapak, hanya 50% sahaja dipegang pemilik sebenar.”
Rosli menyeru pihak berkuasa mengambil tindakan tegas menghapuskan kawalan kartel ke atas bazar.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa memberi jaminan lesen lot bazar Ramadan di Kuala Lumpur akan diberikan secara telus.
Katanya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur akan memantau proses pemberian dan menggesa pihak tidak berpuas hati membuat aduan.