Tiada tuduhan dicadang terhadap bekas CEO 1MDB, mahkamah diberitahu

Tiada tuduhan dicadang terhadap bekas CEO 1MDB, mahkamah diberitahu

Bekas pegawai penyiasat polis R Rajagopal juga memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa siasatan terhadap kes 1MDB masih berjalan.

Najib Razak dibicarakan atas 25 tuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kuasa membabitkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank miliknya antara Feb 2011 dan Dis 2014. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Seorang bekas pegawai penyiasat kes 1MDB memberitahu Mahkamah Tinggi dalam perbicaraan Najib Razak bahawa beliau mencadangkan kepada pendakwa raya supaya tiada pertuduhan dikenakan terhadap beberapa bekas pengurusan syarikat itu.

R Rajagopal, yang pernah bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, berkata siasatan kes ini masih berjalan hingga kini, walaupun beliau tidak lagi terlibat selepas bersara dua tahun lalu.

Katanya, polis masih menunggu beberapa dokumen dari luar negara sebagai sebahagian daripada siasatan.

Rajagopal berkata, susulan cadangannya itu, pendakwa raya tidak meneruskan pertuduhan terhadap bekas CEO 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Hazem Abdul Rahman, serta bekas ketua pegawai kewangan Azmi Tahir dan Radhi Mohamad.

“Bagi beberapa individu yang gagal dikesan, pertuduhan difailkan untuk mendapatkan waran tangkap, bagi membolehkan kami memohon notis merah Interpol,” katanya.

Mereka yang didakwa tanpa kehadiran termasuk ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho (Jho Low), pembantunya Tan Kim Loong, bekas penasihat undang-undang 1MDB Loo Ai Swan (Jasmine Loo), bekas pengarah eksekutif 1MDB Tang Keng Chee (Casey Tang), dan bekas pegawai 1MDB Geh Choh Heng (Terence Geh).

Loo pulang ke Malaysia pada 2023 dan memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan dalam kes ini.

Hari ini, Rajagopal memberitahu mahkamah bahawa pihak polis masih belum merekodkan kenyataan daripada Low atau Najib.

“Bagi Terence dan Casey, kami masih perlu mendapatkan kenyataan lanjut daripada mereka,” tambahnya.

Najib dibicarakan atas 25 tuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kuasa membabitkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank miliknya antara Feb 2011 dan Dis 2014.

Perbicaraan bersambung esok di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.