
Hakim K Muniandy membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat terhadap Tarek atau nama sebenarnya Tarik Essam Ahmad Obaid, syarikat barang kemas yang berpangkalan di London, SJ Phillips Limited dan Malca-Amit Far East Limited yang mengendalikan kemudahan bilik kebal di Hong Kong.
Permohonan dibuat di bawah Seksyen 41 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) dan Seksyen 28 Akta SPRM 2009 (Akta 694).
Perintah itu bertujuan untuk menghalang kedua-dua syarikat daripada terlibat dalam sebarang urus niaga yang melibatkan barang kemas, termasuk memindahkan, menjual atau merampas barang tersebut.
Mahadi memaklumkan mahkamah bahawa ia adalah percubaan ketiga pihak pendakwaan untuk menyampaikan notis ke atas Malca-Amit Far East Limited.
“Jabatan Peguam Negara menyampaikan notis melalui pihak berkuasa di Hong Kong, tetapi kami tidak menerima sebarang maklum balas daripada mereka.
“Dua notis sebelum ini telah tamat tempoh,” katanya.
Difahamkan, notis pertama dan kedua masing-masing dikeluarkan pada 2023 dan 2024.
Mahkamah Jenayah Persekutuan Switzerland menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun kepada Obaid pada Ogos lalu, manakala seorang lagi, Patrick Mahony, menerima hukuman enam tahun.
Menurut dakwaan, kedua-dua eksekutif itu menipu 1MDB sebanyak USD1.8 bilion untuk memperkayakan diri mereka, dengan Obaid menerima sekurang-kurangnya USD805 juta dan Mahony sekurang-kurangnya USD37 juta.
Mereka dituduh mencipta skim penipuan dengan ahli perniagaan dalam buruan Jho Low.
Kedua-dua mereka membuat rayuan terhadap hukuman terbabit.