
Menurut SKMM, kompaun RM250,000 dikenakan terhadap stesen radio Era FM di bawah Maestra Broadcast Sdn Bhd iaitu selepas pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dibuat pada 11 Feb lalu.
Pindaan itu juga memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tempoh lima tahun, denda RM500,000 atau kedua-duanya.
SKMM berkata bagi kes pelawak Harith Iskander dan pengguna Facebook Cecelia Yap yang telah memuat naik kandungan dan komen jelik melibatkan agama Islam di Facebook pada 18 Jan lalu dikenakan kompaun RM10,000 sebelum pindaan dibuat.
Semalam, SKMM berkata tidak menggantung lesen radio Era FM selepas menerima rayuan daripada Maestra Broadcast Sdn Bhd, sebaliknya syarikat pengendali stesen itu dikompaun RM250,000.
Sebelum ini, Astro Audio menggantung penyampai radio 3 Pagi Era Nabil Ahmad, Azad Jasmin dan Radin Amir Affendi Ahmad Aruani serta dua lagi kakitangan susulan kontroversi berkait perayaan agama Hindu.
Harith pula didakwa memuat naik hantaran di Facebooknya dengan memuat naik sekeping gambar menunjukkan segelas kopi dinamakan hamsap kopi berharga RM5.50.
Cecelia pula didakwa menimbulkan kontroversi berhubung hantaran berbaur penghinaan terhadap agama Islam berkaitan isu ‘ham’ baru-baru ini tampil memohon maaf.
Semalam, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata kompaun RM250,000 yang dikenakan terhadap pengendali stesen radio Era FM selepas tersebarnya video kontroversi mempersendakan agama Hindu mengambil kira bahawa Maestra Broadcast Sdn Bhd adalah sebuah syarikat, bukan individu.
Fahmi berkata adalah salah untuk membandingkan perkara itu dengan kes stoking ‘Allah’.
Katanya, KK Mart didakwa mengikut Kanun Keseksaan, undang-undang berbeza, dan denda RM60,000. Fahmi berkata kes itu tidak melibatkan kandungan dalam talian atau melibatkan pemegang lesen SKMM.