
Menteri Komunikasi itu berkata tindakan itu tidak boleh disamakan seperti pada zaman pentadbiran Dr Mahathir Mohamad, memandangkan pelaburan strategik itu dikenakan syarat khusus.
Menurut Fahmi, dana itu dikhususkan untuk menguruskan tunggakan perlu dibayar oleh SEB kepada lebih 2,000 vendor di mana 80% daripadanya adalah Bumiputera.
“Zaman Mahathir itu real bailout. Ini zaman Madani bukan Mahathir,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.
Tegasnya, kerajaan akan meneliti sebaiknya setiap pelaburan dan mengamalkan prinsip tiada ‘duit percuma’.
“Kita nak Sapura Energy pada kedudukan lebih mampan.
“Amat penting dari segi strategi untuk Sapura mainkan peranan dalam bidang ‘oil and gas’, tanpanya apakah kita sedia gunakan perkhidmatan vendor asing? Jadi di sini perkiraan termasuk hal seperti itu dipertimbangkan,” katanya.
Dalam pemfailan di Bursa semalam, Sapura Energy mengumumkan ia telah menerima RM1.1 bilion sebagai pelaburan daripada Malaysia Development Holding Sdn Bhd (MDH).
SEB semalam mengumumkan pihaknya telah beroleh pelaburan berjumlah RM1.1 bilion daripada langganan saham pinjaman boleh tebus boleh tukar (RCLS) pada nilai nominal daripada Malaysia Development Holding Sdn Bhd (MDH).
MDH, sebuah syarikat tujuan khas Menteri Kewangan (Diperbadankan), menetapkan hasil langganan itu hanya untuk digunakan bagi penyelesaian atau pembayaran liabiliti yang terhutang oleh Kumpulan SEB kepada pembekal perkhidmatan Malaysia yang beroperasi atau menyokong sektor minyak dan gas di Malaysia.
SEB berkata pelaburan itu menandakan satu lagi peristiwa penting dalam usaha penyusunan semula kewangan, serta mengukuhkan komitmennya kepada kemampanan jangka panjang.
Pelaburan itu akan digunakan secara eksklusif untuk membayar hutang syarikat minyak dan gas itu kepada 2,000 vendornya.