Pelaburan dalam Sapura Energy oleh MDH bukan ‘bailout’, tegas PNB

Pelaburan dalam Sapura Energy oleh MDH bukan ‘bailout’, tegas PNB

Dana digunakan hanya untuk bayar pembekal tempatan, tanpa beri manfaat kepada pemegang saham SEB atau pemiutang kewangan sedia ada.

sapura energy office
PNB memaklumkan bahawa pelaburan dalam Sapura Energy oleh MDH boleh dibayar balik.
PETALING JAYA:
Permodalan Nasional Berhad (PNB) menekankan bahawa pelaburan dalam Sapura Energy Berhad (SEB) oleh Malaysia Development Holdings Sdn Bhd (MDH) bukan ‘bailout’ kerajaan.

Pemegang saham utama SEB sedia ada itu menjelaskan dana digunakan secara langsung dan hanya untuk membayar pembekal tempatan, tanpa memberi manfaat kepada mana-mana pemegang saham SEB atau pemiutang kewangan yang sedia ada.

PNB menjelaskan perkara tersebut bagi menjawab pelbagai artikel yang merujuk pelaburan tersebut sebagai ‘bailout’ kerajaan.

SEB mempunyai lebih 2,000 vendor, kebanyakannya adalah perusahaan kecil dan sederhana serta menggaji kira-kira 59,000 pekerja teras dalam industri minyak dan gas, katanya.

“Pembiayaan ini penting untuk kelangsungan kewangan penyedia perkhidmatan Malaysia dalam ekosistem minyak dan gas,” katanya.

Semalam, Bernama melaporkan SEB memperoleh pelaburan RM1.1 bilion, menerusi langganan saham pinjaman boleh tebus boleh tukar (RCLS) pada nilai nominal oleh MDH.

MDH, sebuah syarikat tujuan khas Menteri Kewangan (Diperbadankan), menetapkan hasil langganan itu hanya akan digunakan untuk penyelesaian atau pembayaran liabiliti yang terhutang oleh SEB Group kepada penyedia perkhidmatan Malaysia yang beroperasi dalam atau menyokong sektor minyak dan gas di Malaysia, lapor agensi berita itu.

Mengulas lanjut, PNB memaklumkan bahawa pelaburan oleh MDH boleh dibayar balik.

“Pelaburan dalam SEB RCLS menjana pembayaran keuntungan tetap kepada MDH dan boleh ditebus dengan opsyen untuk menikmati kenaikan melalui penukaran kepada saham sekiranya harga saham SEB meningkat pada masa hadapan,” katanya.

Pelaburan itu juga penting dalam memudahkan penyelesaian langkah penstrukturan hutang terbesar di Malaysia, melibatkan beberapa bank terbesar, katanya.

“Pelaburan ini akan membantu mengelakkan pembubaran SEB, yang akan mengakibatkan penjualan aset minyak dan gas strategik negara secara lelongan, di dalam dan luar negara,” katanya.

Menurutnya, pelaburan oleh MDH akan dilakukan selepas pemiutang institusi kewangan SEB bersetuju dengan potongan berkesan yang ketara serta potongan tidak langsung akibat kehilangan nilai daripada penukaran hutang kepada saham pada premium yang tinggi.

“Selain itu, pemegang saham SEB yang sedia ada akan mengalami pencairan yang ketara daripada penukaran saham di bawah skim penstrukturan hutang,” katanya.

Katanya lagi, SEB telah menjalankan proses ketekunan wajar undang-undang dan kewangan yang komprehensif serta semakan perniagaan yang komprehensif oleh pakar bebas, termasuk semakan kawalan dalaman dan pengurusan risiko yang menyeluruh, sebagai sebahagian daripada skim penstrukturan.

Dalam pada itu, PNB melihat SEB sebagai penyedia perkhidmatan kritikal untuk industri minyak dan gas, dan pelaburan itu menyokong perniagaan tempatan dan mengekalkan integriti rantaian bekalan.

Menurutnya lagi, tanpa SEB dan vendor tempatan, kerja berkaitan perlu disumberluarkan kepada penyedia asing.

“Pelaburan ini akan memastikan kerja minyak dan gas negara akan terus dilakukan oleh rakyat Malaysia,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.