
Saksi pembelaan keenam itu berkata, dia mendapat maklumat mangsa mencuri wang tertuduh ketiga serta keempat.
“Kira-kira 10.30 malam, saya ke bilik asrama 7 Resak bersama tertuduh ke-10 dan tertuduh ketiga, semasa melintasi tangga, kami terserempak tertuduh kesembilan yang memberitahu mangsa mengaku mencuri duit tertuduh ketiga dan keempat.
“Sampai di 7 Resak, saya melihat mangsa sedang mengeluarkan duit daripada buku dan saya terus berlari menuju ke mangsa lalu menolak mangsa, tetapi tertuduh kelima menghalang dan bercakap jangan menolak mangsa,” katanya dalam keterangan saksi pada perbicaraan di depan Hakim Duncan Sikodol.
Pada 28 Feb lalu, Duncan memerintahkan 13 remaja berusia 16 hingga 19 tahun membela diri atas pertuduhan bersama membunuh Nazmie Aizzat di Kolej Vokasional Lahad Datu pada 9 malam 21 Mac hingga 7.38 pagi 22 Mac tahun lalu.
Semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta tidak lebih 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Ketika pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abdul Latif, tertuduh pertama bersetuju dengan cadangan dia terus berlari ke arah Nazmie Aizzat disebabkan kecewa dan marah mangsa merupakan rakan rapatnya.
Perbicaraan bersambung petang ini.