Hak gas Sarawak: Rundingan Petronas-Petros buntu

Hak gas Sarawak: Rundingan Petronas-Petros buntu

Sumber dakwa Petros mahu jadi 'orang tengah' antara Petronas dan pengguna akhir di Sarawak, yang akan ganggu perjanjian komersial Petronas yang sedia ada.

petronas petros
Kerajaan Sarawak dikatakan bertegas semua pengguna gas domestik mesti membeli gas daripada Petros, yang akan ganggu perjanjian komersial Petronas sedia ada, kata sumber.
PETALING JAYA:
Petronas dan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) nampak buntu dalam rundingan berhubung hak gas, apabila Sarawak masih berpegang pada tuntutan asal walaupun sebelum ini ia beri jaminan sebaliknya, menurut sumber.

“Pendirian Sarawak tidak berubah sejak tahun lepas walaupun pemimpin kerajaan persekutuan dan Sarawak mengumumkan rundingan sedang berjalan,” kata sumber dalam kerajaan Sarawak kepada FMT.

Sumber itu berkata, kerajaan Sarawak menegaskan semua pengguna gas domestik, termasuk loji gas asli cecair (LNG) di negeri itu, mesti mematuhi Ordinan Pengedaran Gas (DGO) dan membeli gas daripada Petros.

“Ini pada hakikatnya bererti Petros akan menjadi ‘orang tengah’ antara Petronas dan pengguna akhir.

“Aturan sedemikian pasti akan ganggu perjanjian komersial sedia ada antara Petronas dengan pengguna akhir di sini (Sarawak),” kata sumber itu.

Sumber itu berkata pendirian Sarawak bertentangan dengan persetujuan yang diumumkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat bulan lalu, yang disahkan oleh Premier Abang Johari Openg keesokannya.

Pada 17 Feb, Anwar beritahu Parlimen bahawa kerajaan Sarawak bersetuju Akta Kemajuan Petroleum (PDA) akan kekal sebagai rangka kerja menyeluruh bagi tadbir urus dalam industri minyak dan gas di Malaysia.

Perdana menteri juga mengumumkan semua perjanjian sedia ada Petronas akan kekal utuh dan ditadbir sepenuhnya oleh PDA, serta Petronas dan anak-anak syarikatnya tidak akan diwajibkan untuk mematuhi sebarang keperluan tambahan yang dikenakan di bawah undang-undang negeri.

Bagaimanapun, Anwar berkata Petros akan dibenarkan untuk melaksanakan peranan sebagai agregator gas di Sarawak di bawah DGO, yang mesti ‘dibaca sekali” dengan PDA.

“Ketidakupayaan kedua-dua pihak untuk berkompromi menyerlahkan kerumitan apabila mempunyai dua undang-undang yang bertindih.

“Petronas dan Petros bertegas mereka melaksanakan hak menurut undang-undang, dengan Petronas merujuk pada PDA manakala Petros merujuk pada DGO untuk menyokong pendirian masing-masing,” kata sumber.

Maka atas sebab itu Anwar seru pertikaian yang sudah lama berlarutan ini diselesaikan menerusi suatu ‘penyelesaian komersial’, tambahnya.

“Kedua-dua syarikat minyak ini dan kerajaan akan mendapati mereka berada pada kedudukan yang merugikan semua pihak dalam jangka panjang, melainkan suatu kompromi komersial tercapai,” kata sumber.

Minggu lepas, Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berkata Petronas dan Petros masih dalam proses memuktamadkan butiran cadangan kerjasama.

Katanya, butirannya belum muktamad tetapi Petros telah hubungi Petronas untuk bincang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.