
Hakim Suzana Hussin memberikan DNAA selepas membenarkan permohonan lisan peguam Yusof Zainal Abiden yang mewakili tertuduh berusia 80 tahun itu hari ini.
“Selepas mempertimbangkan hujahan kedua-dua pihak dan laporan perubatan Hospital Kuala Lumpur berhubung keupayaan mental tertuduh, mahkamah mendapati dia tidak layak dibicarakan.
“Oleh itu, tertuduh dilepas tanpa dibebaskan dan wang jaminan akan dikembalikan.”
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat memaklumkan mahkamah bahawa Jabatan Peguam Negara menolak surat representasi Ramli bertarikh 10 Jan lalu dan pihak pendakwaan bersedia meneruskan perbicaraan.
Tetapi, Yusof berhujah Ramli tidak dapat membela diri disebabkan keadaannya dan memohon mahkamah memberikan DNAA kepadanya.
Anak perempuan Ramli, Rinnie Nor Ahmad Ramli dalam afidavit sokongannya pada Julai tahun lalu menyatakan bapanya didiagnosis gangguan neurodegeneratif progresif, keadaan yang konsisten dengan demensia campuran sederhana.
Afidavit sokongan itu dikemukakan dalam permohonan kepada Mahkamah tinggi bagi membatalkan pertuduhan terhadap Ramli.
Mahkamah Tinggi mengembalikan kes itu kepada Mahkamah Sesyen untuk hakim menilai tahap kecergasan mental Ramli.
Suzana kemudian mengarahkan tertuduh menjalani penilaian psikiatri di Hospital Kuala Lumpur.
Ramli dituduh pada 16 Ogos 2022.
Beliau didakwa meluluskan tiga pembayaran berjumlah RM21.08 juta kepada tiga syarikat tanpa kelulusan lembaga pengarah Boustead Naval Shipyard (BNS).
Beliau didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan pertama, beliau didakwa secara curang meluluskan pemindahan RM13,541,140 kepada syarikat Singapura, Setaria Holdings Limited tanpa kelulusan lembaga pengarah BNS antara 26 Julai 2010 dan 25 Mac 2011.
Mengikut pertuduhan kedua, Ramli didakwa secara curang meluluskan pemindahan RM1,350,716 kepada sebuah lagi syarikat berpangkalan di Singapura, JSD Corporation Pte Ltd tanpa kelulusan lembaga pengarah BNS antara 19 April dan 4 Mei 2011.
Berdasarkan pertuduhan ketiga, beliau didakwa secara curang meluluskan pemindahan RM6,182,295 kepada Sousmarin Armada Ltd tanpa kelulusan lembaga pengarah BNS antara 28 Okt dan 22 Nov 2010.