
Ahli Parlimen Kampar daripada DAP itu berkata, Wee dalam 10 video mendakwa KWSP menanggung kerugian RM500 juta, walaupun beliau telah menjelaskan sebaliknya.
“Bagi menjelaskan keraguan umum, saya cabar Wee untuk berdebat mengenai transaksi KWSP-MAHB.
“Saya menggesa Wee untuk terima cabaran itu,” kata Chong sambil menambah, Wee boleh memilih tarikh, masa dan tempatnya.
Pada Februari, Chong berkata, beliau bersedia bersara daripada politik jika Wee dapat membuktikan bahawa KWSP telah mengalami kerugian kewangan.
Bulan lepas, Gateway Development Alliance mencapai tahap penerimaan 94.47% untuk tawarannya mengambil alih semua saham MAHB bawah pelan penswastaannya.
Sebelum perjanjian itu dimeterai, pengkritik mendakwa, KWSP mengalami kerugian RM500 juta dalam dagangan saham apabila membeli balik saham MAHB pada harga lebih tinggi selepas menjualnya pada kadar lebih rendah.
Chong menyifatkan dakwaan tersebut membingungkan, kerana badan berkanun itu sepatutnya memperoleh untung RM3 per unit saham apabila membelinya pada harga RM2 kemudian menjualnya pada harga RM5.
Apabila KWSP membelinya semula pada harga lebih tinggi, iaitu RM11 per unit saham, harganya akan terus meningkat, tambahnya.
Awal bulan ini, Wee yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam mendedahkan bahawa usul yang difailkan oleh Chong untuk merujuknya kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Rakyat telah ditolak.
Katanya, usul itu berkenaan hujahnya mengenai KWSP mengalami kerugian daripada jualan saham MAHB, yang diputuskan sebagai tidak mengelirukan kerana kerugian telah berlaku.
Beliau kemudian menggesa Chong menunaikan janjinya untuk bersara daripada politik.