
Dalam wawancara eksklusif bersama FMT, Nancy berkata terdapat segelintir wanita, khususnya dalam kepemimpinan politik, cenderung mengutamakan kerjaya anak mereka berbanding wanita lain yang berkelayakan.
Katanya, amalan ini telah memperbesar jurang kepimpinan antara lelaki dan wanita.
Ketika ini, wakil wanita dalam politik Malaysia masih rendah, dengan hanya 30 daripada 222 Ahli Parlimen di Dewan Rakyat terdiri daripada golongan itu.
“Kita perlukan lebih ramai wanita berkelayakan yang boleh bersuara untuk negara dan kaum wanita. Kita tidak boleh hanya fikirkan anak kita sendiri sahaja. Jika mereka bagus, mereka akan berjaya dengan usaha sendiri,” katanya.
“Jika kita sendiri tidak menyokong wanita, siapa yang akan melakukannya?”
Nancy berkata, keadaan diburukkan lagi dengan kenyataan lelaki cenderung mendominasi jawatan kepimpinan negara. Katanya, ramai daripada golongan lelaki itu tidak memahami cabaran dihadapi wanita.
Beliau menyeru ramai lelaki tampil sebagai sekutu dalam menyokong untuk memupuk dan menggalakkan wanita mencapai jawatan tinggi.
“Saya mahu melihat lebih ramai pemimpin wanita muda dalam pelbagai bidang supaya mereka boleh memberi motivasi dan inspirasi kepada yang lain.
“Ini akan membantu wanita muda, khususnya pelajar universiti, menyedari bahawa ada peluang untuk mereka,” katanya.
Sementara itu, kementerian diterajui Nancy juga giat menarik lebih ramai wanita ke pasaran kerja dengan memperkasa latihan penjagaan di seluruh negara, bagi membolehkan wanita mengimbangi kerjaya dan tanggungjawab keluarga.
Beliau berkata, peningkatan jumlah penjaga profesional yang kompeten akan membolehkan lebih ramai wanita berkembang dalam kerjaya masing-masing.
Inisiatif ini, kata Nancy, bukan sahaja meluaskan peluang pekerjaan untuk wanita, tetapi membantu mereka kembali ke pasaran kerja, sekali gus mencetuskan kitaran pemberdayaan dan pertumbuhan ekonomi.
Sejak 2018, kementerian aktif membangunkan industri penjagaan menerusi beberapa siri bengkel latihan.
Setakat Mei tahun lalu, seramai 655 penjaga berjaya dilatih.
Ia menawarkan program merangkumi modul teori dan praktikal bagi memastikan mereka mendapat pendidikan menyeluruh dalam bidang penjagaan.