Saravanan tarik balik cabaran debat dengan Zamri

Saravanan tarik balik cabaran debat dengan Zamri

Timbalan presiden MIC berkata, keputusan itu dibuat selepas perbincangan dengan menteri perpaduan negara dan presiden MIC.

M Saravanan
Timbalan Presiden MIC M Saravanan berkata, beliau menarik balik cabarannya untuk berdebat mengenai agama Hindu dengan pendakwah bebas Zamri Vinoth demi keharmonian negara.
KUALA LUMPUR:
Timbalan presiden MIC M Saravanan telah menarik balik cabarannya untuk berdebat mengenai agama Hindu dengan pendakwah bebas Zamri Vinoth.

Dalam sidang akhbar hari ini, beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas perbincangan dengan Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang dan Presiden MIC SA Vigneswaran.

“Ini demi keharmonian negara,” katanya.

Saravanan juga berkata, cadangannya untuk berdebat adalah demi mempertahankan agama Hindu dan ia tidak akan menjadi debat antara agama.

Beliau berkata, beliau ingin mendidik dan membetulkan pandangan Zamri mengenai agama Hindu.

“Mungkin latar belakangnya, beliau salah diajar (mengenai agama Hindu). Niat saya adalah untuk mendidiknya,” katanya.

Semalam dilaporkan Aaron berharap debat yang dicadangkan antara Saravanan dengan Zamri tidak diteruskan, dengan berkata debat yang terlalu fokus pada perbezaan agama berpotensi mencetuskan ketegangan dan mengeruhkan hubungan antara masyarakat yang berbilang agama.

“Perbincangan atau perdebatan yang berkaitan dengan agama tidak seharusnya diteruskan jika ia hanya bertujuan mencari perbezaan dan mengabaikan usaha untuk membina perpaduan,” katanya.

Saravanan yang juga Ahli Parlimen Tapah bagaimanapun menggesa kerajaan agar mengambil tindakan terhadap Zamri dan memastikan isu itu diselesaikan.

Beliau turut menasihatkan masyarakat India agar tidak bertindak sendiri, sebaliknya membuat laporan polis.

Dalam pada itu, Aaron kemudian menzahirkan penghargaan terhadap Saravanan atas keputusannya membatalkan debat itu.

“(Keputusannya) ialah tindakan yang amat tepat dalam menjaga keharmonian dan perpaduan negara kita.

“Saya juga turut menghargai langkah dan usaha Zamri yang menyambut baik perkara ini,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, keputusan ini diharapkan menjadi contoh teladan yang baik kepada semua rakyat untuk terus berusaha memperkukuh perpaduan dan saling menghormati antara satu sama lain.

“Keputusan ini ialah satu langkah positif yang mengingatkan kita tentang pentingnya menjaga keamanan dan keharmonian dalam negara yang pelbagai, dan ia wajar dijadikan pedoman bagi generasi akan datang,” tambahnya.

Mengenai perkembangan lain, Saravanan berkata, jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) di Tapah telah mula bertemu dengan pengundi dan membuat persiapan bagi menghadapi PRN Ayer Kuning.

Katanya, beliau yakin BN akan menang dengan majoriti lebih besar, tidak kira siapa calonnya.

Apabila ditanya sama ada beliau bimbang tentang kemungkinan Perikatan National (PN) meletakkan calon PAS, beliau berkata, BN pernah menentang PAS di kawasan itu sebelum ini, tanpa sebarang masalah.

“Walaupun saya tidak pandang rendah kekuatan PAS di Tapah, kita ada kelebihan. Pengundi India tidak akan lari, berdasarkan rekod prestasi kami,” tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.