
Timbalan Menteri Hanifah Hajar Taib melaporkan kepada Dewan Rakyat bahawa kerajaan akan terus beri tumpuan pada tiga perkara utama iaitu mengukuhkan kedudukan fiskal negara melalui peningkatan hasil dan rasionalisasi perbelanjaan, mengenal pasti sumber pertumbuhan baharu, dan melaksanakan reformasi struktur ekonomi.
“Penekanan akan diberi untuk mereformasikan struktur ekonomi ke arah rantaian nilai yang lebih tinggi supaya aspirasi Malaysia menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi dapat tercapai,” katanya lapor Bernama, ketika menggulung perbahasan titah diraja.
Hanifah menambah RMK13 penting bagi memastikan unjuran peralihan Malaysia kepada ekonomi berpendapatan tinggi berjaya dicapai dalam tempoh rancangan itu.
Sementara itu, Hanifah melaporkan kepada Dewan Negara bahawa kerajaan akan beri tumpuan kepada beberapa strategi utama bagi mengatasi kesan konflik perdagangan global antara Amerika Syarikat dan China.
Ini termasuk meningkatkan perdagangan strategik dengan rakan dagang sedia ada dan baharu, dan menjadikan Malaysia sebagai lokasi pelaburan alternatif kepada syarikat multinasional bagi mempelbagaikan perdagangan.
Selain itu, kerajaan mahu memanfaatkan penyertaan Malaysia dalam perjanjian perdagangan bebas (FTA) untuk meningkatkan perdagangan, memperoleh keutamaan akses ke pasaran global serta mengurangkan halangan berbentuk tarif dan bukan tarif.