
Senarai tersebut bagi menjawab dakwaan pendapatan Ahli Parlimen terlalu rendah ‘sehingga terpaksa berhutang untuk menampung kehidupan seharian’, lapor Bernama.
“Perdana Menteri Anwar Ibrahim menasihatkan semua Ahli Parlimen agar bijak mengurus kewangan dan sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah yang jauh lebih memerlukan bantuan,” katanya.
Katanya, seseorang Ahli Parlimen layak menerima ‘elaun tetap’ sebanyak RM25,700 sebulan, selain bayaran bagi tugas rasmi dalam negara seperti ‘elaun hadir persidangan’ (RM400 sehari), dan bagi tugas rasmi luar negara termasuk ‘tuntutan kerugian pertukaran mata wang asing’.
Berikut butiran elaun dan tuntutan rasmi yang boleh diperoleh:
1. Elaun dan tuntutan tugas rasmi dalam negara:
- Elaun hadir persidangan: RM400 sehari
- Elaun mesyuarat Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara atau Jawatankuasa Pilihan Khas: RM300 sehari (semasa Parlimen tidak bersidang)
- Elaun mesyuarat ahli PAC: RM250 sehari (semasa Parlimen bersidang)
- Elaun mesyuarat taklimat rasmi: RM300 sehari
- Elaun hidup harian: RM100 sehari (dibayar berdasarkan kehadiran ke Dewan atau perjalanan rasmi melebihi 32km)
- Tuntutan perjalanan: Memandu sendiri, menggunakan pengangkutan awam atau udara
- Tuntutan penginapan: Hotel, lojing dan dobi
2. Elaun dan tuntutan tugas rasmi luar negara:
- Elaun makan: RM340 semalam
- Elaun hidup harian: RM170 sehari
- Tuntutan penginapan: Hotel dan dobi
- Tuntutan pengangkutan: Pengangkutan darat dan udara
- Tuntutan kerugian pertukaran mata wang asing
- Tip: 25% daripada elaun makan
“Apabila dicampurkan, jumlah pendapatan seorang Ahli Parlimen boleh mencecah RM30,000 hingga RM40,000 sebulan, seperti yang dinyatakan oleh perdana menteri sebelum ini,” katanya.
Semalam, Anwar berkata pembangkang sengaja memainkan isu ini untuk menarik perhatian umum sedangkan pendapatan serta elaun mereka boleh menjangkau sehingga RM40,000 sebulan.
Beliau menegaskan bahawa peruntukan bagi kawasan Parlimen, termasuk yang dikuasai pembangkang tetap disalurkan kepada rakyat tanpa mengira parti politik.