
Loke berkata keputusan itu dibuat setelah mengambil kira pusat pemindahan di Bukit Beruntung belum siap.
Menurutnya, kerja pembinaan kemudahan baharu oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan di tapak terbabit juga belum melalui proses penganugerahan.
“Maka Kementerian Pengangkutan (MOT) bersetuju lanjut setahun lagi, maksudnya menjelang tahun depan mereka dah siap dan pindah kesana.
“Sudah tentu menjelang tahun depan ada tempat lain boleh buat pemeriksaan kenderaan maka, (pengguna) tak perlu lagi (hadir) ke sini (Puspakom Wangsa Maju),” katanya dalam selepas meninjau pengoperasian Puspakom Wangsa Maju.
Puspakom Wangsa Maju antara cawangan awal terawal syarikat itu yang dibuka pada 1995 dan mempunyai enam lorong pemeriksaan dengan seramai 37 kakitangan.
Dalam pada itu, Loke mengumumkan langkah jangka pendek bagi mengurangkan kesesakan pemeriksaan kenderaan di Puspakom antaranya tidak lagi membenarkan tempahan slot pemeriksaan berganda bagi nombor pendaftaran sama.
Sebagai contoh, Loke berkata jika kenderaan dengan nombor pendaftaran ABC123 membuat empat tempahan slot pemeriksaan pada tarikh yang sama, hanya satu slot akan dibenarkan.
“Langkah ini diambil bagi mengelakkan penyalahgunaan oleh orang tengah yang didapati menjual slot pemeriksaan kepada pihak lain untuk keuntungan berlebihan,” katanya.
Loke berkata Puspakom juga akan menambahbaik sistem tempahan dengan membekukan slot pemeriksaan asal sekiranya ia ditunda ke tarikh lain.
“Usaha itu bagi mengelakkan slot asal daripada disalahgunakan atau dijual kepada pihak lain,” katanya.
Tambahnya lagi, semua cawangan Puspakom kecuali Langkawi dan Pekan akan beroperasi selama 12 jam sehari termasuk hari Sabtu sepanjang Mac untuk memudahkan pengguna menjelang Aidilfitri.
“Langkah-langkah oleh Puspakom ini akan menambah kapasiti sehingga 15,500 kenderaan sehari berbanding 13,500 sebelum ini,” katanya.