Maritim rampas 3 vesel nelayan tempatan hampir RM1 juta

Maritim rampas 3 vesel nelayan tempatan hampir RM1 juta

Kes disiasat bawah Akta Perikanan 1985 keran langgar syarat lesen, tangkap ikan di zon larangan serta menggaji kru asing tanpa kebenaran.

Penahanan vesel nelayan tempatan itu kerana melakukan pelbagai kesalahan antaranya tidak diusahakan sendiri serta menggaji kru warga asing tanpa kebenaran. (Gambar APMM)
IPOH:
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak menahan tiga vesel nelayan tempatan (VNT) di tiga lokasi berasingan di sekitar perairan Rungkup atas pelbagai kesalahan, membabitkan rampasan dianggarkan RM950,000.

Pengarah Maritim Perak, Mohamad Shukri Khotob, berkata pihaknya turut menahan 11 individu termasuk lapan warga asing, hasil rondaan dijalankan kapal maritim (KM) Jepak dan bot ronda Maritim Malaysia yang giat mengawal kawasan berkenaan pada hujung minggu lalu.

“Bagi kes tangkapan pertama, sebuah VNT kelas B didapati tidak diusahakan sendiri serta menggaji kru warga asing tanpa kebenaran ketua pengarah Perikanan.

“Berikutan itu, tekong bersama dua kru warga Indonesia berusia 35 hingga 45 tahun ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah dan membenarkan pendatang tanpa izin berada di atas vesel itu,” katanya dalam kenyataan.

Shukri berkata, dalam kes berasingan, sebuah VNT kelas C bersama lima kru termasuk tekong warga Myanmar berusia antara 17 hingga 43 tahun ditahan atas kesalahan sama serta turut disyaki memasuki negara ini tanpa menggunakan laluan sah.

“Bagi kes ketiga, sebuah lagi VNT pukat tunda kelas B1 berjaya ditahan selepas dikesan beroperasi kurang dari jarak dibenarkan dari daratan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati tiga kru termasuk tekong warga tempatan berusia 47 hingga 61 tahun melanggar syarat lesen dengan menangkap ikan di kawasan larangan dan tidak mengusahakan bot mereka sendiri,” katanya.

Shukri berkata, semua kes disiasat bawah Akta Perikanan 1985 kerana pelanggaran syarat lesen, menangkap ikan di zon larangan serta menggaji kru asing tanpa kebenaran.

Beliau berkata, mereka juga disiasat bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri serta disyaki memasuki negara ini melalui laluan tidak sah.

“Kru warga asing ditahan untuk siasatan lanjut, nelayan tempatan dilepaskan dengan jaminan bon manakala bot, hasil tangkapan serta peralatan perikanan dirampas dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.