Keputusan tak terus debat jaga keharmonian, kata menteri

Keputusan tak terus debat jaga keharmonian, kata menteri

Keputusan itu mengingatkan masyarakat kepentingan mengekalkan perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai latar belakang agama, budaya dan bangsa.

saravanan n zamri vinoth
Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang berharap keputusan M Saravanan tidak berdebat dengan Zamri Vinoth menjadi teladan baik kepada semua.
PUTRAJAYA:
Keputusan Timbalan Presiden MIC M Saravanan tidak meneruskan debat berkaitan agama dengan pendakwah bebas Zamri Vinoth adalah tindakan amat tepat dalam menjaga keharmonian dan perpaduan negara.

Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang, dalam kenyataan berkata beliau juga menghargai langkah dan usaha Zamri menyambut baik perkara itu.

Beliau berkata, keputusan itu mengingatkan seluruh masyarakat tentang kepentingan untuk mengekalkan perpaduan dalam kalangan rakyat terdiri pelbagai latar belakang agama, budaya dan bangsa.

“Semoga keputusan ini dapat menjadi contoh teladan baik kepada kita semua untuk terus berusaha memperkukuh perpaduan dan saling menghormati antara satu sama lain.

“Keputusan ini adalah satu langkah positif, mengingatkan kita tentang kepentingan menjaga keamanan dan keharmonian dalam negara yang pelbagai, dan wajar dijadikan pedoman bagi generasi akan datang,” katanya.

Aaron berkata, perpaduan bukan hanya sekadar slogan, tetapi harus diterjemahkan dalam tindakan dan sikap seharian, dengan prinsip ‘Faham, Hormat, dan Terima’ menjadi asas penting kepada perkara itu.

“Mengambil pendekatan lebih inklusif dan mengamalkan prinsip Faham, Hormat dan Terima membolehkan kita membina masyarakat lebih harmoni dan sejahtera,” katanya.

Media hari ini melaporkan Saravanan memutuskan tidak meneruskan debat berkaitan agama dengan Zamri demi menjaga perpaduan negara dan selepas berbincang dengan menteri perpaduan serta Presiden MIC SA Vigneswaran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.