
Pengarah Komunikasi PKR, Lee Chean Chung, berkata penjelasan itu penting kerana parti yang tidak mempunyai pendirian jelas akhirnya akan kehilangan kepercayaan rakyat.
Katanya, salah seorang Ahli Parlimen Warisan, Mohammad Yusof Apdal, kini berada dalam pentadbiran kerajaan pusat dan menduduki jawatan sebagai timbalan menteri sains, teknologi dan inovasi.
“Warisan perlu membuat pengumuman yang jelas, adakah mereka ingin terus menjadi sebahagian daripada kerajaan perpaduan, atau menarik diri dan menjadi pembangkang sebelum PRN.
“Atau terus bermain dua peranan dengan menikmati sumber kerajaan sambil bertindak seperti pembangkang,” katanya dalam kenyataan.
Sabtu lalu, Presiden Warisan Shafie Apdal berkata parti itu akan bertanding PRN Sabah secara solo sekali gus menolak spekulasi kemungkinan membentuk pakatan pilihan raya dengan parti lain.
Bekas naib presiden Umno itu juga menegaskan Warisan parti berbilang kaum yang mewakili semua rakyat Sabah.
Sementara itu, Lee menyeru Warisan mempertimbangkan semula keputusan tersebut dengan teliti dan mengutamakan kesejahteraan rakyat Sabah.
Beliau mengingatkan Warisan supaya tidak membiarkan kepentingan politik peribadi mengatasi kestabilan dan pembangunan Sabah.
“Saya menyeru Shafie mempertimbangkan semula keputusan ini demi kepentingan kestabilan dan kemajuan Sabah.
“Pengumuman ini telah mengecewakan kerajaan perpaduan, kerana rakyat Sabah menginginkan kestabilan ekonomi, peluang pekerjaan, bekalan elektrik yang stabil, serta kemasukan pelaburan dan pelancong asing, bukannya pergolakan politik yang berterusan,” katanya.
Katanya, Sabah baru sahaja menikmati kestabilan politik yang sukar diperoleh.
Menurutnya, apa yang dimahukan rakyat Sabah adalah lebih banyak peluang pekerjaan, bekalan elektrik stabil, dan kemasukan pelaburan asing.
“Bukannya pertikaian politik yang tidak berkesudahan. Sikap Warisan yang tidak jelas dan berbelah bahagi ini akan menjejaskan pembangunan jangka panjang Sabah,” katanya.