RUU Perkhidmatan Parlimen tak capai standard, kata pakar perlembagaan

RUU Perkhidmatan Parlimen tak capai standard, kata pakar perlembagaan

Shad Saleem Faruqi berkata satu kekurangan utama ialah jaminan pekerjaan bagi kerani kedua-dua dewan, yang berpotensi mendedahkan mereka kepada pengaruh politik.

prof. dr. shad saleem faruqi
Dalam temu bual dengan FMT baru-baru ini, pakar perlembagaan Shad Saleem Faruqi menyifatkan Rang Undang-undang Perkhidmatan Parlimen ‘terlalu asas’.
KUALA LUMPUR:
Rang Undang-undang Perkhidmatan Parlimen 2025 yang diluluskan baru-baru ini yang bertujuan memulihkan autonomi operasi badan perundangan itu, gagal menegakkan sepenuhnya perlindungan yang termaktub dalam undang-undang serupa yang dimansuhkan lebih 30 tahun lalu, kata seorang pakar perlembagaan.

Shad Saleem Faruqi berkata kekurangan besar dalam rang undang-undang itu ialah penghapusan jaminan pekerjaan untuk kerani kedua-dua dewan itu.

Katanya, di bawah Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 (PSA), kerani yang bertindak sebagai setiausaha Dewan Rakyat dan Negara dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

Mereka mempunyai jaminan dan tempoh yang sama seperti hakim mahkamah persekutuan dan tidak boleh dipecat sewenang-wenangnya, kata Shad.

“Mereka akan dibenarkan beroperasi secara bebas dan tidak boleh dibuang kecuali atas alasan yang sama seperti hakim Mahkamah Persekutuan. Ia kini telah dikeluarkan,” katanya kepada FMT.

Shad berkata tanpa jaminan tempoh perkhidmatan, kerani ini berpotensi terdedah kepada pengaruh politik.

Beliau juga berkata walaupun rang undang-undang baharu itu adalah satu langkah ke hadapan, kandungannya ‘terlalu asas’.

RUU Perkhidmatan Parlimen telah diluluskan pada 5 Mac dengan tujuan untuk mewujudkan perkhidmatan Parlimen yang bebas daripada perkhidmatan awam.

Versi terdahulu undang-undang itu telah dimansuhkan pada 1992, dengan kakitangan perkhidmatan Parlimen diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri dengan pengawasan oleh seorang menteri.

Shad berkata ia juga kurang jelas mengenai bagaimana cadangan Majlis Perkhidmatan Parlimen, yang ditugaskan dengan pengambilan, latihan dan pengurusan kewangan akan distrukturkan.

Majlis itu mempunyai 16 anggota termasuk Speaker Dewan Rakyat dan timbalannya, Presiden Dewan Negara, penjawat awam dari perbendaharaan, wakil dari jabatan perkhidmatan awam dan beberapa penjawat awam kanan lain di Parlimen, katanya.

“Dan hanya enam Ahli Parlimen (akan menjadi ahli majlis). Bagaimana mereka akan dilantik? Adakah pembangkang akan diwakili dalam dewan?

Rang undang-undang itu juga tidak menubuhkan Suruhanjaya Pembaharuan Undang-Undang di bawah Parlimen, mekanisme penting untuk mengemas kini dan memperhalusi perundangan mengenai kewangan, rang undang-undang dan pindaan, katanya.

Shad juga melahirkan kebimbangan bahawa politiking yang kerap berlaku ketika Dewan bersidang boleh menghalang Ahli Parlimen daripada bersuara tanpa rasa takut atau pilih kasih.

“Katakanlah saya Ahli Parlimen biasa, sebahagian daripada parti pemerintah. Saya akan agak keberatan (untuk bersuara) kerana saya mungkin tidak diberikan tiket bertanding pada pilihan raya akan datang.”

Disebabkan itu, beliau berkata kebanyakan semak dan imbangan mesti berlaku di peringkat jawatankuasa.

“Kalau mahu Parlimen berkesan, perbaiki sistem jawatankuasa. Sistem jawatankuasa adalah kunci dalam meningkatkan keberkesanan Parlimen (supaya) perbincangan secara terbuka berlaku.”

Shad juga berkata Suruhanjaya Pembaharuan Undang-Undang adalah penting kerana tugas itu kini dikendalikan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC).

Walaupun AGC mempunyai jawatankuasa pembaharuan undang-undang, ia tidak bebas daripada eksekutif, katanya.

“Terdapat konflik kepentingan. Perlu ada suruhanjaya pembaharuan undang-undang bebas,” katanya, sambil menambah suruhanjaya itu harus dikendalikan oleh Ahli Parlimen dengan ijazah undang-undang dari kedua-dua belah pihak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.