PRN Sabah: Tanding solo langkah berani, tapi Warisan berdepan cabaran besar, kata penganalisis

PRN Sabah: Tanding solo langkah berani, tapi Warisan berdepan cabaran besar, kata penganalisis

Bilcher Bala berkata Warisan diketuai Shafie Apdal mungkin merasakannya mampu mencipta semula pentadbiran tunggal tanpa ada kerjasama dengan parti lain.

Warisan memenangi 23 kerusi, jumlah paling banyak mengikut parti pada PRN 2020 sebelum sebahagian wakil rakyatnya keluar parti menyebabkan ia kini berbaki 14 kerusi.
PETALING JAYA:
Penganalisis berpandangan keputusan Warisan bertanding solo pada PRN Sabah sebagai langkah berani dan bercita-cita besar mahu mengulangi kejayaan parti tempatan memerintah di era 70-an hingga awal 90-an.

Merujuk pemerintahan Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah (BERJAYA) dan Parti Bersatu Sabah (PBS), Bilcher Bala dari Universiti Malaysia Sabah berkata Warisan diketuai Shafie Apdal mungkin merasakannya mampu mencipta semula pentadbiran tunggal tanpa ada kerjasama dengan parti lain.

Namun Bilcher berpendapat Warisan bakal berdepan cabaran besar terutama dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dianggotai lapan parti tempatan dan kini menjadi pemerintah negeri itu.

“GRS mempunyai kelebihan dari segi sumber dan sokongan lebih luas,” katanya kepada FMT sambil tidak menolak Warisan juga bakal dicabar sengit Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM).

Bagaimanapun, Bilcher berkata harus diakui Warisan masih mempunyai sokongan yang signifikan kerana mereka menekankan kepentingan semua kaum dan etnik di Sabah.

Beliau merujuk kejayaan Warisan memenangi 23 kerusi, jumlah paling banyak mengikut parti pada PRN 2020 sebelum sebahagian wakil rakyatnya keluar parti menyebabkan ia kini berbaki 14 kerusi, kebanyakannya di kawasan pantai timur Sabah.

Sabtu lalu, Shafie, bekas ketua menteri Sabah berkata parti itu akan bertanding PRN secara solo sekali gus menolak kemungkinan membentuk pakatan pilihan raya dengan parti lain.

Bekas naib presiden Umno itu turut mendakwa Warisan parti berbilang kaum yang mewakili semua rakyat Sabah.

Felo Majlis Profesor Negara Azmi Hassan yang berbeza pandangan dengan Bilcher berkata sukar Warisan membentuk kerajaan jika ingin bergerak solo.

Atas faktor itu, beliau masih yakin ura-ura kerjasama dengan Umno dan Barisan Nasional menjadi pilihan terdekat buat Warisan untuk kembali ke tampuk pemerintahan.

“Mungkin sudah berbincang tetapi belum capai persetujuan terutama hal pembahagian kerusi,” katanya.

Kerajaan Sabah mempunyai tempoh sehingga Oktober ini sebelum DUN dibubarkan bagi memberi laluan kepada PRN.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.