
Bekas pengarah urusan Ihsan Perdana Sdn Bhd, Dr Shamsul Anwar Sulaiman, berkata beliau bercakap dengan Najib melalui telefon pada Julai 2015 selepas The Wall Street Journal menerbitkan artikel mendakwa dana dari SRC International Sdn Bhd masuk ke akaun bekas perdana menteri itu.
SRC International ketika itu adalah ialah anak syarikat 1MDB.
Shamsul berkata, beliau dimaklumkan Ung Su Ling, bekas CEO Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M), dan Dennis See, bekas pengurus projek, untuk melaksanakan pemindahan ke akaun tersebut.
Namun, Shamsul yang sebelum ini memberi keterangan dalam kes SRC International melibatkan Najib, berkata beliau tidak tahu siapa pemilik akaun itu.
“Saya percaya (ketika itu) bahawa pembayaran ini bertujuan untuk tujuan CSR (tanggungjawab sosial korporat).
“Daripada reaksinya melalui telefon, nampaknya bahawa Najib terperanjat, kerana saya dengan jelas mendengar dia menggumam dengan menyatakan, ‘My God!’,” katanya yang memberi keterangan dalam pembelaan Najib.
Shamsul juga memberitahu mahkamah beliau bukannya sebahagian daripada kumpulan, termasuk ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, yang membuat draf surat mendakwa keluarga diraja Saudi mendermakan dana itu kepada Najib.
Beliau juga menafikan berada di sebuah hotel di London pada 2015 bersama Low, bekas penasihat undang-undang 1MDB, Loo Ai Swan, dan salah seorang pembantu Low, Kee Kok Thiam, untuk membincangkan draf surat ‘sumbangan’ itu.
“Keterangan Jasmine (Loo) bahawa saya hadir adalah palsu dan direka-reka,” katanya, sambil menambah bahawa dakwaan itu mungkin sebahagian daripada agenda Loo.
Mahkamah arah peguam elak buat kenyataan media berkait perbicaraan
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib memberitahu mahkamah bahawa peguam Najib telah mengeluarkan kenyataan media minggu lalu berkaitan perbicaraan yang sedang berlangsung.
Akram berkata, peguam itu membuat komen mengenai keterangan bekas pegawai penyiasat 1MDB R Rajagopal, dan tindakan mereka itu sebagai tidak sesuai.
“Rajagopal belum selesai memberi keterangan dan dijadual kembali semula esok (untuk pemeriksaan balas),” katanya yang menggesa mahkamah memberi amaran kepada pembelaan.
Peguam utama Najib, Shafee Abdullah, mempertahankan tindakan mereka dengan mendakwa laporan media mengenai perbicaraan 1MDB bersifat berat sebelah dan kenyataan yang dikeluarkan tidak menyalahi undang-undang.
“… melainkan jika saksi (Shahrol, Loo dan Azmi) bimbang dan mengadu (kepada pendakwaan),” katanya.
Shafee turut mendakwa kerajaan berlaku tidak adil terhadap Najib dalam permohonannya untuk semakan kehakiman berkaitan titah addendum tahanan rumah.
Namun, Akram menolak dakwaan itu dan menegaskan bahawa isu tahanan rumah tidak perlu dikaitkan dengan perbicaraan ini.
Hakim perbicaraan, Collin Lawrence Sequerah, berkata mahkamah tidak mahu perkara ini berulang dan menasihatkan semua pihak agar mengelakkan sebarang kenyataan media mengenai keterangan saksi sebelum ia selesai direkodkan.
Najib kini dibicarakan atas 25 pertuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kuasa melibatkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun AmBank miliknya antara Feb 2011 dan Dis 2014.
Perbicaraan bersambung esok.