
Naib Ketuanya, Raymond Ahuar, berkata keutamaan parti itu ialah meneruskan rundingan kerjasama dengan parti parti yang membentuk kerajaan Sabah semasa, tetapi ia turut terbuka berunding dengan parti lain.
“Kita serah kepada pucuk pimpinan kita, terutama perdana menteri yang juga presiden PKR berbincang bagi menentukan siapa rakan kongsi terbaik kita pada PRN nanti,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata demikian selepas Presiden Warisan Shafie Apdal pada Sabtu lalu menolak spekulasi partinya mungkin membentuk pakatan pilihan raya dengan parti lain.
Raymond berkata, parti itu menghormati hak Warisan bertanding solo, yang akan menyebabkan peluang menang tipis kerana Sabah mempunyai pengundi berbilang kaum dan agama.
“Yang penting, kita nak pastikan kerajaan bawah pimpinan Anwar Ibrahim tidak terjejas dan kekal stabil di Putrajaya.
“Dalam politik, kita boleh cakap hari ini lain, esok lain dan dinamika politik Sabah susah nak ramal. Sejam sebelum buat keputusan akan ada perubahan, sekarang nampak bergaduh, esok boleh duduk sama-sama.”
Kerajaan Sabah mempunyai tempoh hingga Oktober ini sebelum DUN perlu dibubarkan bagi memberi laluan kepada PRN.