Elak jerat hutang, usah ghairah skim ‘beli dahulu bayar kemudian’ di musim raya

Elak jerat hutang, usah ghairah skim ‘beli dahulu bayar kemudian’ di musim raya

CEO Fomca T Saravanan berkata tawaran menarik disediakan platform e-dagang sempena musim perayaan menyebabkan pengguna membuat pembelian tidak terancang sehingga menjerat diri.

Majoriti yang berdepan masalah membayar hutang khususnya melibatkan skim BNPL adalah mereka di bawah umur 30 tahun. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Orang ramai dinasihat merancang perbelanjaan Aidilfitri dengan bijak mengambil kira kemampuan kewangan supaya tidak terperangkap beban hutang pada masa depan terutama melalui perkhidmatan beli dahulu bayar kemudian (BNPL).

Mengulas pelbagai promosi sempena Syawal oleh pengusaha e-dagang ketika ini, Ketua Pegawai Eksekutif Fomca T Saravanan berkata tawaran menarik disertakan dengan kemudahan skim BNPL menyebabkan pengguna membuat pembelian tidak terancang sehingga menjerat diri.

Ini terbukti apabila, menurut beliau setiap hari terdapat satu atau dua individu majoriti berumur bawah 30 tahun tampil ke Fomca untuk mendapatkan khidmat nasihat selepas tidak mampu membayar hutang berkenaan.

“Mereka terjerat dengan gaya hidup mewah, membeli gajet mahal di luar kemampuan mereka kemudian tak mampu bayar hutang mengikut jadual menyebabkan bunga semakin tinggi.

“Untuk kes sebegini, bila mereka tampil ke Fomca, kita akan rujuk mereka ke Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) mendapatkan bantuan penjadualan semula atau penstrukturan pinjaman sebelum institusi kewangan meneruskan notis kebankrapan,” katanya kepada FMT.

Saravanan berkata masalah suka berhutang itu bukan hanya berlaku pada musim Aidilfitri sahaja, tetapi setiap musim perayaan.

“Masalah orang kita, selalu buat pembelian tidak terancang… tengok nak beli tanpa lihat keperluan. Bila berlaku tanpa fikir poket sendiri, mereka akan dapat masalah untuk membayar di kemudian hari,” katanya.

Justeru, beliau menasihatkan pengguna khususnya yang menyambut Syawal akhir bulan ini supaya mengurus perbelanjaan dengan baik memandangkan kos sara hidup semakin tinggi saban hari.

“Dan dijangka raya nanti barang basah juga akan naik harga, jadi sebagai pengguna, rancang perbelanjaan anda sebaiknya dan jangan melebihi bajet yang sudah ditetapkan,” katanya.

Bulan lalu, media melaporkan kadar penggunaan skim BNPL di negara ini semakin meningkat berikutan ia mudah diakses dengan pelbagai insentif menarik yang ditawarkan kepada pengguna.

Pasukan Petugas Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna Bank Negara Malaysia (BNM) memaklumkan, jumlah pengguna BNPL di negara ini mencapai 10.3 juta orang pada tahun lalu.

Menurut pasukan itu, ia menunjukkan peningkatan sebanyak 16% daripada tahun sebelumnya (2023) dengan hampir 50% pengguna berusia bawah 30 tahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.