PGA tumpas cubaan seludup 42,700 kelapa ke Thailand

PGA tumpas cubaan seludup 42,700 kelapa ke Thailand

Rampasan RM1.2 juta termasuk treler dilakukan di Tumpat, Kelantan.

NIK ROS AZHAN
Komander Briged Tenggara PGA Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata tiga lelaki ditahan kerana disyaki guna pangkalan haram bagi menyeludup kelapa ke negara jiran. (Gambar Bernama)
KOTA BHARU:
Pasukan Gerakan Am (PGA) menggagalkan cubaan menyeludup 42,700 kelapa ke Thailand membabitkan nilai rampasan keseluruhan RM1.2 juta di sebuah stor di pangkalan haram Jalan Kasban, Tumpat.

Komander Briged Tenggara PGA Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata rampasan tersebut dilakukan Batalion 7 PGA menerusi Op Taring Wawasan pada 10.30 malam, Jumaat lalu.

“Rampasan ini dilakukan selepas kami menahan tiga lelaki disyaki menyeludup kelapa di stor pangkalan haram itu dan pemeriksaan mendapati terdapat 42,700 biji kelapa ditemui dalam sebuah treler dipercayai untuk diseludup ke Thailand.

“Tiga lelaki tempatan berusia 22 hingga 38 tahun dipercayai menjadi penghantar untuk menyeludup kelapa berkenaan ke Thailand,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan RM1.2 juta termasuk kenderaan dan kes disiasat di bawah Akta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan 1965 (Fama).

Nik Ros Azhan berkata, semua suspek dan barang rampasan dibawa ke Komtak PGA Pengkalan Kubor untuk tindakan selanjutnya.

Di lokasi berlainan, beliau berkata Batalion 7 PGA turut merampas 260 anak pokok hiasan dengan nilai keseluruhan RM12,600, yang dikesan dalam sekatan jalan raya (SJR) di Lalang Pepuyu, Tanah Merah pada 12 tengah hari, Jumaat lalu.

Beliau berkata, rampasan itu dilakukan setelah pihaknya menahan sebuah van dalam keadaan mencurigakan semasa menjalankan tugas dalam Op Taring Wawasan.

“Kesemua 260 anak pokok hiasan ini ditemui di dalam van dan ia disyaki mempunyai serangga perosak serta penyakit. Pemandu lelaki berusia 34 tahun dipercayai menjadi penghantar tanaman tersebut ke pasaran tempatan,” katanya.

Nik Ros Azhan berkata kes disiasat di bawah Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta167) Seksyen 5, manakala suspek dan barang rampasan diserahkan kepada Bahagian Biosekuriti Tumbuhan Kelantan bagi tindakan selanjutnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.