Kaji semula semua elaun jururawat, gesa kesatuan

Kaji semula semua elaun jururawat, gesa kesatuan

Kesatuan Jururawat Malaya berkata ia termasuk elaun wilayah RM1,000 sebulan yang tidak pernah disemak semula sejak sekian lama.

jururawat nurse
Kesatuan Jururawat Malaya berkata gesaan itu akibat tekanan ‘berlebihan’ mungkin dihadapi jururawat berkhidmat di luar negeri akibat berjauhan dengan keluarga, bebanan kerja dan kenaikan kos sara hidup.
PETALING JAYA:
Kesatuan Jururawat Malaya (MNU) menggesa kerajaan menyemak semula semua elaun jururawat, termasuk elaun wilayah RM1,000 sebulan bagi yang berkhidmat di luar negeri asal.

Presidennya Saaidah Athman berkata ia mengambil kira tekanan ‘berlebihan’ mungkin dihadapi jururawat di luar negeri akibat berjauhan dengan keluarga, selain bebanan kerja dan kenaikan kos sara hidup.

“Bagi jururawat dari Sabah atau Sarawak yang bertugas di Semenanjung akan dapat elaun tambahan, iaitu elaun wilayah sebanyak RM1,000 sebulan. Rasanya (kadar ini) tak pernah disemak semula sebelum ini.

“Bukan saja elaun wilayah, kerajaan patut semak semula semua elaun jururawat sedia ada,” katanya kepada FMT.

Selain mengulangi gesaan kenaikan gaji, beliau meminta Kementerian Kesihatan (KKM) menawarkan bayaran insentif pos basik (BIPB) lebih menarik bagi mengelakkan lebih ramai jururawat meletak jawatan.

Menurutnya, BIPB sebanyak RM100 sebulan tidak pernah diselaras sejak 2007.

BIPB diberikan kepada anggota paramedik KKM memiliki sijil pos basik dan diploma lanjutan dalam bidang diluluskan institut latihan kementerian itu.

Jumaat lalu, Timbalan Premier Sarawak Dr Sim Kui Hian dilaporkan berkata lebih 800 jururawat dari Sarawak yang kini bertugas di luar negeri berhasrat berkhidmat di kampung halaman mereka.

Katanya, penempatan petugas penjagaan kesihatan antara isu sedang dibincangkan kerajaan negeri dengan Putrajaya di bawah Perjanjian Malaysia 1963.

Pada 3 Mac lalu, Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni dilaporkan berkata penempatan jururawat di luar negeri asal mereka antara sebab ada memilih meninggalkan perkhidmatan di KKM.

Katanya keadaan itu memberi cabaran kepada KKM kerana penempatan jururawat ditentukan berdasarkan keperluan di setiap negeri.

Beliau berkata 1,754 jururawat berhenti kerja sejak lima tahun lalu, dengan 27.98% daripadanya akibat masalah peribadi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.