
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkata demikian sebagai maklum balas atas kenyataan Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer yang sebelum ini mempersoal “ketiadaan tindakan” terhadap hantaran Zamri berkenaan.
Pada Jumaat, Rayer mempersoal mengapa hantaran Zamri belum diturun atau disekat SKMM mahupun polis selepas beberapa laporan polis dibuat berhubung perkara itu.
Dalam kenyataan, SKMM berkata pihaknya ada meminta penurunan hantaran tersebut yang didapati mengandungi elemen kesalahan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menggunakan kemudahan rangkaian secara tidak wajar.
“Namun, keputusan menurunkan kandungan itu dibuat oleh platform yang tertakluk kepada penilaiannya terhadap justifikasi diberikan dan garis panduan komunitinya.
“Justeru, Facebook menurunkan kandungan tersebut pada 9 Mac (hari ini),” kata suruhanjaya itu.
Semakan FMT menyaksikan hantaran itu tidak lagi tersedia dalam akaun Facebook Zamri.
Dalam hantaran diturunkan berkenaan, Zamri menyifatkan penganut Hindu dalam upacara kavadi ketika Thaipusam, sebagai “macam orang kena rasuk sambil mabuk todi”.
Kenyataan dibuat susulan kontroversi dicetuskan tiga penyampai radio Era FM, yang dikritik meluas kerana mempersenda amalan berkenaan.
Timbalan Presiden MIC M Saravanan kemudian menggesa pihak berkuasa menahan Zamri di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012, dan berkata beliau akan membangkitkan perkara itu kepada perdana menteri dan menteri dalam negeri.