Polis minta pemilik ‘dashcam’ rakam kemalangan maut di Senawang tampil

Polis minta pemilik ‘dashcam’ rakam kemalangan maut di Senawang tampil

Dua remaja maut selepas sebuah kereta dilapor gagal berhenti di lampu isyarat merah dan merempuh dua motosikal di Senawang, Khamis lalu.

teen accident
Dua pelajar lelaki berusia 15 dan 16 tahun maut selepas dirempuh sebuah kereta yang gagal berhenti di persimpangan lampu isyarat Matahari Height di Senawang, Seremban.
SEREMBAN:
Polis meminta orang ramai yang mempunyai rakaman kamera papan pemuka (dashcam) berkaitan kemalangan mengakibatkan dua remaja maut selepas motosikal dinaiki dirempuh sebuah kereta di Jalan Persiaran Senawang 1 pada Khamis tampil membantu siasatan.

Ketua Polis Seremban Mohamad Hatta Che Din berkata setakat ini dua saksi kejadian telah tampil memberi keterangan.

“Kita sedang menjalankan siasatan lanjut mengenai kes ini, bagi mereka yang ada rakaman kamera papan pemuka boleh tampil untuk bantu siasatan kerana semua mangsa masih di hospital dan belum dapat diambil keterangan.

“Berdasarkan siasatan, pemandu kereta jenis Honda Jazz berusia 18 tahun yang terlibat dalam kejadian itu didapati tidak mempunyai lesen memandu. Kes masih disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya kepada Bernama.

Beliau turut meminta supaya orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian itu kerana boleh mengganggu proses siasatan.

Semalam, media melaporkan dua pelajar lelaki berusia 15 dan 16 tahun maut selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta jenis Honda Jazz dalam kejadian di Jalan Persiaran Senawang 1 berhampiran persimpangan lampu isyarat Matahari Height.

Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kereta dipandu remaja lelaki itu bersama seorang penumpang dari arah Senawang menuju ke Paroi gagal berhenti di lampu isyarat merah dan melanggar motosikal jenis Modenas Kriss dinaiki kedua-dua mangsa serta sebuah lagi motosikal jenis Honda Vario.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.