
Timbalan Bersekutu Bersatu R Sanjeevan berkata kelewatan tindakan menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat, seolah-olah tindakan hanya diambil setelah mendapat tekanan luar.
Beliau memberi contoh dalam isu penjual jagung yang mencetuskan kontroversi selepas memaparkan papan tanda berunsur perkauman, tindakan lambat sehingga mencetuskan polemik besar.
Menurutnya, tindakan segera sepatutnya juga perlu diambil terhadap pendakwah bebas Zamri Vinoth, Vijayan Savarinathan, pemilik akaun TikTok ‘Crime_Man’, pelawak Harith Iskander dan Cecelia Yap yang dikatakan menghina agama di media sosial.
“Pihak berkuasa perlu melakukan penguatkuasaan secara berkala dan konsisten untuk kekang isu sensitif,bukannya bertindak bila isu itu telah tular.
“Banyak sahaja isu penghinaan agama dimainkan tetapi tiada tindakan pantas diambil tak kiralah mana agama sekali pun,” katanya kepada FMT.
Sementara itu, Ketua Penerangan Dewan Himpunan Pendukung PAS Pusat (DHPP) G Balachandran berkata, rakyat cukup resah dengan perbalahan yang tidak berkesudahan.
“Agama sepatutnya menjadi faktor perpaduan, bukan perpecahan. Setiap kepercayaan mengajar perkara baik dan penganutnya harus mengamalkan ajaran agama dengan penuh hormat terhadap orang lain.
“Setiap manusia ada khilaf dan lebih baik kita mengambil sikap memaafkan dan bergerak ke hadapan,” katanya.
Beliau merujuk permohonan maaf oleh tiga penyampai stesen radio Era FM berkait kontroversi mempersenda tarian kavadi Hindu, upacara suci dilakukan ketika Thaipusam kepada Dewa Murugan.
Menurutnya, isu melibatkan Zamri sehingga mendapat cabaran debat oleh Timbalan Presiden MIC M Saravanan juga dibimbangi boleh meningkatkan ketegangan dan salah faham.
“Jangan biarkan satu kesilapan merosakkan hubungan yang telah lama terbina.
“Dalam masa sama biarlah pihak polis menjalankan siasatan, semua pihak perlu hormati proses undang-undang dan elak buat kenyataan burukkan lagi keadaan,” katanya.