Palace of Golden Horses salah pecat pengurus, menurut mahkamah

Palace of Golden Horses salah pecat pengurus, menurut mahkamah

Mahkamah Perusahaan kata penamatan 'E', selepas dia menolak kenaikan pangkat, adalah menyalahi undang-undang.

mahkamah perusahaan malaysia
Mahkamah Perusahaan menganugerahkan pampasan RM279,510 kepada E selepas mendapati dia dipecat tanpa sebab atau alasan yang adil. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Tindakan pengurusan sebuah hotel terkemuka memecat seorang pengurus kerana menolak tawaran kenaikan pangkat yang diberi secara lisan adalah salah, menurut Mahkamah Perusahaan Kuala Lumpur.

Pengerusi Amrik Singh berkata seorang pengurus perkhidmatan ahli Palace of Golden Horses dikenali sebagai ‘E’, secara jelas menyatakan bahawa dia tidak bersedia untuk menjawat timbalan pengurus besar kerana kurang pengalaman.

E ditawarkan jawatan itu oleh Pengerusi Eksekutif Golden Horse Palace Bhd, Lee Kim Yew, semasa mesyuarat di Kelab Golf Mines Resort pada Julai 2020.

Namun E menjelaskan kepada Lee bahawa dia tidak mempunyai pengalaman, terutama dalam aspek operasi menguruskan perniagaan syarikat, dan oleh itu tidak berupaya untuk menjawat jawatan itu.

Mahkamah mendapati Lee nampaknya menerima penjelasan E dan memberitahu dia untuk terus bertugas sebagai pengurus.

Tawaran kedua dibuat oleh seorang pengarah, yang tidak dinamakan, pada September tahun yang sama.

Apabila E menolak tawaran itu, dia diberitahu oleh pengarah terbabit bahawa tidak ada guna syarikat mengekalkan perkhidmatannya.

E, yang menyertai hotel itu pada 2009, berkata dia tidak pernah terima tawaran rasmi berhubung tawaran itu.

Kira-kira 14 bulan selepas dia menolak tawaran itu, pihak syarikat itu mencadangkan penamatan bersama (mutual termination) atas alasan bahawa perkhidmatannya tidak lagi diperlukan.

E mendakwa tawaran penyelesaian pertama, yang dibuat pada September 2021, adalah ‘secara tiba-tiba’, tanpa sebarang petunjuk awal bahawa terdapat sebarang masalah dengan prestasi kerjanya.

Sebagai protes, E berkata dia tidak mengiktiraf surat itu, dan menambah dia mahu mengkaji terma-termanya dan memberi maklum balas dalam masa terdekat.

Pada 28 Okt 2021, pihak syarikat mengeluarkan surat kedua kepada E, dengan perkara ‘penyelesaian bersama muktamad’ (final mutual settlement), dan memberinya notis penamatan khidmat dengan tempoh tiga bulan.

Dua bulan kemudian, E menulis surat jawapannya kepada pihak syarikat.

Dalam suratnya, dia bertanya kepada pengurus sumber manusia mengenai tempoh notis penamatan perkhidmatan dan tarikh tamat pekerjaan, yang menurut surat itu pada 20 Dis 2021.

E memperakui penerimaan surat itu, dengan perkataan ‘dalam keadaan dures’.

Pada 12 Jan 2022, pihak syarikat menghantar surat ‘penyelesaian bersama’ kedua kepada E, yang meminta dia memulangkan semua harta syarikat pada hari yang sama.

Amrik berkata keputusan pihak syarikat untuk memecat E adalah sewenang-wenangnya dan berubah-ubah, dan pemecatan E berselindung di sebalik penyelesaian bersama.

“Tindakan sedemikian dicemari oleh niat jahat dan mencerminkan penyalahgunaan budi bicara secara jelas.

“Berdasarkan ini, pemecatan itu adalah tanpa sebab atau alasan yang adil,” katanya dalam award yang dikeluarkan pada 27 Feb.

Amrik juga berkata pihak syarikat gagal memberi E alasan yang sah untuk menamatkan perkhidmatannya.

Menurutnya, keputusan pihak syarikat melantik pengurus baharu bagi mengambil alih peranan dan fungsi pekerjaan E meyakinkan mahkamah untuk menyimpulkan bahawa hujah pihak syarikat, yang mengatakan tiada jawatan sesuai untuk E, tiada keesahan.

“Sekiranya pihak syarikat benar-benar percaya bahawa tindakan pihak yang menuntut (E) menolak tawaran adalah tidak dapat dipertahankan untuk operasinya, maka ia tidak akan tunggu 14 bulan untuk bertindak berhubung penamatannya.

“Sebaliknya, tindakan pihak syarikat menunjukkan ada cubaan untuk mengada-adakan kewujudan suatu penyelesaian bersama, sedangkan tidak ada perbincangan atau cadangan dimulakan sebelum itu,” katanya sambil menambah bahawa kesahihan surat perpisahan bersama pertama dan kedua itu mengundang persoalan.

Amrik memberikan kepada E pampasan sebanyak RM279,510, merangkumi 24 bulan gaji tunggakan dan 12 bulan gaji sebagai ganti pemulihan kerja.

V Jeya Kumar dan Evangeline Yii Jia Xin mewakili E selaku peguam, manakala P Kavitha Devi dan Angelin Vegabalan mewakili pihak syarikat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.