Misi cari MH370 di Selatan Lautan Hindi dapat sokongan NTSB, ATSB

Misi cari MH370 di Selatan Lautan Hindi dapat sokongan NTSB, ATSB

Kementerian Pengangkutan berkata lembaga keselamatan pengangkutan Amerika Syarikat dan Australia telah melantik wakil bertauliah bagi memberikan sokongan teknikal.

Misi baharu pencarian MH370 di kawasan seluas kira-kira 15,000 kilometer persegi di Selatan Lautan Hindi bermula bulan lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Misi pencarian pesawat MH370 di kawasan baharu di Selatan Lautan Hindi mendapat sokongan teknikal Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) Amerika Syarikat dan Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB).

Kementerian Pengangkutan (MOT) berkata dua lembaga itu telah melantik wakil bertauliah bagi memberikan sokongan teknikal kepada misi terbabit yang telah bermula Feb lalu.

Menurut laporan media antarabangsa, syarikat eksplorasi laut swasta dari Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK), Ocean Infinity, menggunakan kapal sokongan Armada 7806 untuk mencari pesawat malang terbabit di kawasan seluas 15,000km persegi, kira-kira 1,500 km dari pantai Perth.

“Kerajaan menghargai kerjasama erat dan bantuan daripada semua pihak yang terlibat dalam salah satu usaha pencarian paling kompleks dan mencabar dalam sejarah penerbangan,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan sempena 11 tahun tragedi MH370.

Pesawat membawa 239 penumpang itu hilang ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, China pada 8 Mac 2014.

MOT berkata menjadi tanggungjawab kerajaan untuk meneruskan usaha pencarian berdasarkan petunjuk berwibawa demi menjejaki lokasi terakhir MH370 untuk memberikan jawapan diperlukan waris keluarga mangsa.

“MOT sedar akan perhatian awam yang tinggi terhadap usaha pencarian ini, dan sedang giat memuktamadkan perjanjian pencarian baharu, selaras prosedur Kerajaan Malaysia,” katanya.

Menurutnya, misi baharu di Selatan Lautan Hindi dipersetujui Kabinet pada 13 Dis berdasarkan prinsip ‘no find, no fee’, bermaksud tiada sebarang pembayaran akan dibuat melainkan bangkai pesawat ditemui.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.