
Beliau berkata, sebarang perbincangan lanjut akan bergantung pada hasil rundingan.
Katanya, Petros telah menghubungi Petronas awal minggu ini untuk memulakan perbincangan mengenai butiran penting, termasuk aturan komersial untuk memastikan kedua-dua syarikat beroperasi sejajar.
“Butirannya belum muktamad, tetapi Petros telah hubungi Petronas untuk bincangkannya. Hanya selepas itu baru boleh setuju,” katanya, lapor Borneo Post.
Pertikaian antara kedua-dua syarikat minyak itu tercetus apabila kerajaan Sarawak menegaskan haknya untuk mengeksploitasi rizab minyak dan gas, walaupun undang-undang persekutuan, Akta Kemajuan Petroleum 1974, memberikan hak eksklusif kepada Petronas.
Bulan lepas, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan Sarawak telah menerima bahawa akta itu merupakan undang-undang persekutuan dan bahawa Petronas mengekalkan semua kewajipan kontraknya di negeri itu.
Bagaimanapun, Petros ditetapkan menjadi agregator gas tunggal di Sarawak mulai 1 Mac.
Fadillah berkata, Anwar dan Premier Sarawak Abang Johari Openg hanya akan campur tangan jika perkara itu tidak dapat diselesaikan.
“Buat masa ini, biarlah Petros dan Petronas bincang semua butirannya, termasuk aturan komersial dan cara tafsir dua rangka kerja undang-undang terbabit supaya boleh berfungsi bersama,” katanya.
Pada Februari, Anwar berkata, perbincangan antara Petronas dan Petros akan merangkumi pelbagai aspek kerjasama, termasuk projek baharu yang diterokai oleh kedua-dua syarikat dalam apa jua bidang.
Abang Johari juga berkata bulan lepas, walaupun Petronas dan Petros akan bekerjasama untuk memajukan kepentingan negara dan negeri, kepentingan Sarawak akan diutamakan.