
Dalam temu bual eksklusif bersama FMT, beliau menekankan kementeriannya secara aktif menyediakan platform kepada usahawan wanita bercita-cita tinggi dan pemimpin masa depan menerusi inisiatif seperti Program Perantisan Kepimpinan Wanita (PERANTIS).
Program ini bertujuan menyediakan bimbingan, latihan dan sokongan kewangan kepada peserta terpilih bagi memperkasakan mereka sebagai pemimpin di peringkat pembuat keputusan.
Nancy berkata kerajaan memperuntukkan RM1.2 juta untuk membantu 1,247 peserta program terbabit, yang mendapat bimbingan daripada 25 pakar industri pada tahun lalu.
Beliau menyedari minat terhadap politik di kalangan peserta masih rendah, namun tetap berharap lebih ramai akan berminat menyertai bidang terbabit.
“Hanya dua orang sahaja yang memohon dana kepimpinan politik, tetapi saya mahu melihat lebih ramai yang boleh mengambil alih tempat kami,” katanya.
“Saya mahu melihat pemimpin muda, terutamanya wanita, dalam arena politik supaya mereka dapat memberi motivasi dan inspirasi kepada generasi akan datang.
“Kita tidak boleh melihat pemimpin yang sama sepanjang masa. perlu ada muka baharu,” tambahnya.
Pada tahun ini, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memperuntukkan RM5 juta bagi program terbabit bagi menyokong 100 pemimpin wanita, yang seterusnya akan membimbing lebih 5,000 peserta lain.
Permohonan program itu akan ditutup pada 26 Mac.
Pada Februari 2024, Nancy dipetik berkata kementeriannya berharap 30% daripada jawatan pembuat keputusan dalam sektor swasta akan diisi oleh wanita.
Walaupun 42% wanita memegang peranan itu dalam sektor perkhidmatan awam, sektor swasta ‘belum mencapai tahap itu lagi’.
Pada 2023, beliau memberitahu Dewan Rakyat bahawa kajian oleh Suruhanjaya Sekuriti mendapati wanita mengisi 29.7% daripada jawatan pengarah syarikat, berbanding hanya 14% pada 2016.
Insentif cukai untuk galak pengambilan pekerja wanita (sub head)
Selain program Perantis, Nancy berkata kementeriannya turut bekerjasama dengan Kementerian Kewangan dan Kementerian Sumber Manusia untuk menyediakan insentif seperti pengecualian cukai kepada syarikat mengambil lebih ramai pekerja wanita profesional.
“Kita memerlukan lebih ramai wanita profesional di negara ini, bukan sahaja untuk bersuara bagi pihak negara, tetapi juga pihak wanita sendiri,” katanya.
Tahun lalu, kerajaan mencadangkan pengecualian cukai pendapatan tambahan sebanyak 50% selama 12 bulan kepada majikan yang menggaji wanita yang kembali bekerja.
Turut ditawarkan pengecualian cukai pendapatan individu sehingga 12 bulan menerusi TalentCorp kepada wanita profesional mempunyai sekurang-kurangnya tiga tahun pengalaman kerja sepenuh masa sebelum berehat daripada kerjaya mereka.