
Menurutnya, ada syarikat mengurangkan pengeluaran minyak masak hingga 50% berikutan harga minyak sawit mentah (MSM) dunia meningkat, menyebabkan kekurangan bekalan, justeru intervensi segera penting bagi memastikan bekalan minyak masak sawit tulen kemasan botol cukup bagi perayaan Ramadan, Hari Raya Aidilfitri, Pesta Kaamatan, dan Hari Gawai dalam tempoh tiga bulan akan datang.
“Kita akan tetapkan mekanisme ini minggu depan, tandatangan persetujuan pada Isnin atau Selasa nanti selain terangkan mekanisme ini,” katanya.
“Alhamdulillah mereka (syarikat terlibat) sebenarnya telah mula kembalikan produksi ke paras normal kerana komitmen (intervensi) yang telah kita nyatakan.”
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Servis Ihsan Madani@Petronas Autoexpert (Sim@Pax) Hari Raya Aidilfitri dan Ikhlas Ramadan Bersama Gas Petronas di Papar, hari ini, lapor Bernama.
Semalam, Armizan dilaporkan berkata, kerajaan melaksanakan intervensi segera bagi menstabilkan bekalan minyak masak botol di pasaran.
Katanya, bagi dua bulan pertama tahun ini, harga purata MSM per tan adalah RM4,672.50 pada Januari manakala RM4,759 pada Februari, dan akibat harga MSM berlarutan ini syarikat pembungkus minyak masak botol terpaksa mengurangkan pengeluaran bagi mengawal kos kerana terikat dengan perintah harga kawalan maksimum.
“Harga MSM meningkat tetapi kerajaan tetap mahu beri subsidi minyak masak peket dan tetap (melaksanakan) harga siling untuk minyak masak botol bagi bantu rakyat.
“Dalam masa sama kita faham kekangan dihadapi syarikat, jadi kita fikirkan jalan penyelesaian bagi imbangi keperluan kos sara hidup rakyat dan industri,” katanya.