Berdepan kuasa besar: Pakar saran pendekatan halus, strategik tangani isu Palestin

Berdepan kuasa besar: Pakar saran pendekatan halus, strategik tangani isu Palestin

Malaysia perlu imbang prinsip dan kepentingan nasional agar boleh terus sokong rakyat Palestin tanpa cetus ketegangan dengan kuasa besar.

Lebanon Israel
Ahli akademik berkata Malaysia boleh main peranan dalam membantu rakyat Palestin tanpa jejas hubungan dengan negara lain terutama kuasa besar. (Gambar AP)
PETALING JAYA:
Seorang ahli akademik menyarankan pendekatan halus dan strategik bagi menangani situasi Palestin dalam berdepan kuasa besar.

Yazid Zul Kepli, profesor undang-undang antarabangsa di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, berkata Malaysia perlu mengimbangi prinsip dan kepentingan nasional, agar boleh terus menyokong rakyat Palestin tanpa mencetuskan ketegangan dengan kuasa besar, terutama Amerika Syarikat bawah pentadbiran Donald Trump.

Beliau mengingatkan, AS mempunyai pengaruh besar dalam ekonomi global dan rakan dagang penting bagi Malaysia.

“Sebarang kenyataan atau tindakan yang terlalu keras boleh menyebabkan tindak balas yang mungkin menjejaskan perdagangan, pelaburan, atau kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara,” katanya kepada FMT.

Yazid Zul Kepli.

Yazid menyarankan tumpuan pada perjuangan rakyat Palestin secara keseluruhan tanpa beri sokongan terbuka kepada organisasi yang dilabel sebagai pengganas, fokus pada isu hak asasi manusia dan penderitaan serta penyelesaian adil, dan menyalur bantuan menerusi pertubuhan dan agensi kemanusiaan diiktiraf masyarakat antarabangsa.

“Malaysia dapat memainkan peranan penting dalam membantu rakyat Palestin yang terjejas akibat konflik tanpa menjejaskan hubungan dengan mana-mana negara lain,” katanya.

Sementara itu, Azmi Hassan, ahli geostrategi di Akademi Nusantara, berkata kelantangan Malaysia dalam isu Palestin berlatarkan hilang kepercayaan terhadap negara-negara Arab yang mempunyai agenda tersendiri.

Beliau berkata, suara Malaysia menarik perhatian negara bukan Arab, misalnya Jepun yang mengundang Malaysia untuk bekerjasama untuk membangunkan semula Palestin.

“Kita sebenarnya membuat sesuatu yang positif walaupun kita sendiri akan berdepan tekanan,” katanya.

Pada 3 Mac, bekas duta, Nazri Aziz, berkata perbualan telefon antara Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Trump boleh menimbulkan komplikasi lantaran isu Palestin.

Namun, dalam perkara perdagangan dan imigresen, antara lain, pendirian Malaysia dan Trump tidak jauh berbeza.

Nazri berpandangan, Malaysia harus menyasarkan hubungan tuntas dengan pelbagai pemain global termasuk Rusia, India dan China.

Rabu lalu, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata Malaysia perlu berhati-hati dalam hubungan dengan AS, sambil menarik perhatian kepada peristiwa Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, diminta keluar dari Rumah Putih selepas pertemuan tegang dengan Trump.

Menulis di X, Mahathir berkata peristiwa itu menggambarkan keburukan diplomasi AS.

Sebelum itu, Trump mahu Zelensky beri AS akses kepada nadir bumi di Ukraine, bagi membayar balik bantuan disalurkan untuk peperangan dengan Rusia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.