Zamri sahut cabaran debat Saravanan

Zamri sahut cabaran debat Saravanan

Timbalan Presiden MIC M Saravanan mencadangkan debat itu diadakan pada 23 Mac, yang akan dianjurkan oleh Dewan Bahasa Tamil Malaysia.

saravanan n zamri vinoth
Timbalan Presiden MIC M Saravanan (kiri) mencabar pendakwah Zamri Vinoth untuk berdebat susulan kenyataan mengenai upacara kavadi.
PETALING JAYA:
Pendakwah bebas Zamri Vinoth menerima cabaran Timbalan Presiden MIC M Saravanan untuk berdebat mengenai agama Hindu, berikutan kemarahan orang ramai terhadap kenyataannya berkaitan upacara kavadi.

Zamri mengesahkan kesediaannya menerusi hantaran Facebook lewat malam tadi, yang menyahut cabaran Saravanan untuk berdebat dalam bahasa Tamil.

“Siapa sedia nak anjurkan debat tersebut? Tempat di mana? Apa tajuknya?,” katanya.

Saravanan berkata, perdebatan akan tertumpu kepada dakwaan Zamri bahawa penganut Hindu yang melakukan upacara kelihatan seperti ‘orang kena rasuk sambil mabuk todi’.

Beliau mencadangkan debat itu diadakan pada 23 Mac dengan Dewan Bahasa Tamil Malaysia sebagai penganjur. Mengenai lokasi, beliau berkata Zamri boleh memilih mana-mana tempat di Kuala Lumpur.

“Saya tunggu pengesahan anda. Pada masa yang sama, adalah ‘pelik’ anda menerima cabaran debat tetapi menutup komen pada Facebook anda,” tambah Saravanan dalam catatan Facebooknya.

Cabaran untuk berdebat timbul selepas kritikan tercetus terhadap kenyataan Zamri mengenai upacara kavadi, dengan Saravanan menggesa penahanannya bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas).

Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer, membuat laporan polis terhadapnya.

Bekas timbalan menteri undang-undang dan reformasi institusi, Ramkarpal Singh, berkata pendakwah itu jelas melanggar undang-undang seperti Seksyen 504 dan 505 Kanun Keseksaan, yang memerlukan siasatan segera.

Zamri disiasat pada 2019 kerana membuat kenyataan dianggap menghina agama Hindu, walaupun dia tidak didakwa kerana bukti tidak mencukupi.

Kenyataan terbarunya dibuat di tengah-tengah kemarahan orang ramai terhadap tiga penyampai radio Era FM yang dikecam secara meluas kerana mempersendakan amalan Hindu yang sama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.