Tragedi dinihari, pekerja nasi kandar maut ditetak

Tragedi dinihari, pekerja nasi kandar maut ditetak

Mangsa yang juga warga Myanmar diserang ketika bekerja oleh empat lelaki bersenjatakan parang pada kira-kira 3.20 pagi.

police line
Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Kepala Batas untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
PETALING JAYA:
Seorang pekerja restoran nasi kandar maut ditetak di Tasek Gelugor, Pulau Pinang, awal pagi tadi.

Dalam kejadian pada 3.20 pagi di Taman Sepadu Jaya, mangsa yang juga warga Myanmar diserang oleh empat lelaki tidak dikenali yang bersenjatakan parang, kata Ketua Polis Seberang Perai Utara Anuar Abdul Rahman.

Katanya, siasatan awal mendapati keempat-empat suspek warga tempatan itu datang ke restoran tersebut memakai topi dan penutup muka, menaiki kereta berwarna gelap, sebelum menyerang mangsa yang sedang bekerja.

“Mangsa cuba melarikan diri dan kesemua suspek mengejar dan menetak mangsa di bahagian kepala, tangan dan badan,” katanya, lapor Sinar Harian.

“Setelah beberapa kali ditetak, mangsa jatuh terbaring dan kesemua suspek melarikan diri menaiki kenderaan sama.”

Anuar berkata, sebaik menerima laporan, sepasukan polis bergegas ke lokasi kejadian dan menjumpai mangsa dengan kesan tetakan di belakang lengan tangan, kepala dan beberapa kesan luka di bahagian belakang badan.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Kepala Batas untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Suspek terlibat dalam kejadian ini masih belum dikenal pasti dan pihak polis sedang berusaha mengesan mereka,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes ini diminta menghubungi pegawai penyiasat Shuheri Abdul Rani menerusi talian 04-5762222 atau mana-mana balai polis terdekat untuk membantu siasatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.