Lelaki Sri Lanka diculik bekas kekasih

Lelaki Sri Lanka diculik bekas kekasih

Dalam tempoh 24 jam selepas terima laporan pada 28 Feb, polis tahan 4 suspek termasuk bekas teman wanita mangsa.

Kejadian dipercayai berpunca daripada tindakan mangsa berusia 26 tahun itu meninggalkan teman wanitanya, menyebabkan kumpulan suspek bertindak menculiknya, menurut polis Iskandar Puteri. (Gambar Fail)
PETALING JAYA:
Seorang warga Sri Lanka yang dilapor dilarikan dari tempat kerjanya di Gelang Patah, Iskandar Puteri, bulan lepas rupanya ‘diculik’ oleh bekas teman wanitanya, menurut polis.

Ketua Polis Iskandar Puteri M Kumarasan berkata, pihaknya berjaya menyelesaikan kes itu dalam tempoh 24 jam selepas menerima laporan pada 28 Feb, dengan penahanan empat suspek termasuk bekas teman wanita mangsa.

Menurut Kumarasan, seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun melaporkan kepada polis bahawa pekerjanya, seorang lelaki warga Sri Lanka berusia 26 tahun, dilarikan dari sebuah kedai cuci kereta pada kira-kira 9 pagi.

Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Iskandar Puteri kemudian menahan dua lelaki dan dua wanita tempatan, berusia antara 18 hingga 37 tahun.

“Kesemua mereka ditahan dalam serbuan di Kuala Selangor dan Bestari Jaya, Selangor pada 1 Mac, sekitar 12.30 tengah malam hingga 7.30 pagi,” katanya, lapor Sinar Harian.

Polis turut merampas empat telefon bimbit dan dua kenderaan milik suspek. Hasil ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek negatif dadah, namun salah seorang suspek lelaki memiliki rekod jenayah lampau.

Kumarasan berkata, mangsa didapati teman lelaki kepada salah seorang suspek yang ditahan.

“Kejadian dipercayai berpunca daripada tindakan mangsa meninggalkan wanita itu, menyebabkan kumpulan suspek bertindak menculiknya,” katanya.

Beliau berkata, dua suspek lelaki dituduh di Mahkamah Majistret Johor Bahru pada 7 Mac bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Mereka turut didakwa mengikut Seksyen 34 kanun sama kerana kesalahan dilakukan secara bersama.

“Dua suspek wanita pula dibebaskan dengan bon jamin bawah Seksyen 118 Kanun Prosedur Jenayah,” katanya.

“Mahkamah menetapkan 27 Mac sebagai tarikh sebutan kes, dengan kedua-dua suspek lelaki dibebaskan dengan jaminan masing-masing RM1,000 dan RM3,500.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.