
Beliau berkata keputusan itu dibuat susulan taklimat khas kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan pagi tadi mengenai gangguan bekalan minyak masak botol.
“Antara punca utama gangguan bekalan adalah kenaikan kos pengeluaran disebabkan harga minyak sawit mentah (MSM) dunia yang meningkat sejak dua tahun lepas. Bagi dua bulan pertama 2025, harga purata MSM (per tan) adalah RM4,672.50 pada Januari dan RM4,759 bagi Februari.
“Akibat harga MSM yang berlarutan, syarikat pembungkus minyak masak botol terpaksa mengurangkan pengeluaran bagi mengawal kos kerana terikat dengan perintah harga kawalan maksimum,” katanya dalam kenyataan.
Sebagai contoh, beliau berkata harga kawalan runcit bagi minyak masak botol 5kg ditetapkan pada RM30.90, jauh lebih rendah berbanding harga pasaran berdasarkan kadar MSM dunia iaitu RM36.16.
Armizan berkata bagi menangani isu ini, kerajaan mempertimbangkan pemberian insentif khas kepada syarikat pembungkus minyak masak botol untuk memastikan bekalan segera dikeluarkan ke pasaran.
Sehubungan itu, menurut beliau Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengarahkan syarikat pembungkus kembali mengeluarkan minyak masak botol pada kadar mencukupi bagi memenuhi keperluan semasa.
“Pada masa sama, KPDN mempertingkatkan penguatkuasaan bagi memastikan tiada aktiviti penyorokan atau penyelewengan bekalan minyak masak,” katanya.
Armizan berkata KPDN komited memastikan semua arahan dan keputusan ini dilaksanakan segera supaya kadar pengeluaran minyak masak botol kembali stabil dalam masa terdekat.
“KPDN amat menghargai keprihatinan dan keputusan segera perdana menteri dan Kementerian Kewangan dalam mempertimbangkan peruntukan insentif khas ini demi memastikan rakyat mendapat bekalan minyak masak stabil, khususnya sepanjang Ramadan dan Syawal,” katanya.