
Ia melibatkan pindaan kepada 11 fasal bagi mengadakan peruntukan berhubung tanggungan untuk membayar caruman dan kadar caruman yang kena dibayar ke atas pekerja bukan warganegara.
Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan berkata cadangan ini dijangka dilaksanakan pada suku keempat tahun ini, lapor Bernama.
Kerajaan akan mengekalkan cadangan kadar caruman masing-masing 2% buat pekerja dan majikan, menurut laporan itu lagi.
Ketika menggulung perbahasan, Amir berkata langkah ini dapat membantu kerajaan mengurangkan pekerja bukan warganegara tanpa dokumen kerana hanya pekerja yang sah berdaftar dengan majikan layak mencarum.
Ia juga secara tidak langsung dapat mengurangkan kebergantungan pada tenaga kerja bukan warganegara dalam jangka masa panjang, katanya.
“Sekiranya tiada caruman KWSP untuk pekerja bukan warganegara, ini menyebabkan kadar menggajikan pekerja bukan warganegara lebih murah berbanding pekerja tempatan… sebab itu, penting ikhtiar ini bagi mengelakkan ketidakseimbangan dalam menggalakkan penggajian rakyat tempatan,” katanya.
Amir berkata pekerja asing boleh mengeluarkan caruman apabila kembali ke negara asal setelah tamat tempoh permit kerja dengan bukti penamatan kerja.
Beliau juga berkata polisi mewajibkan perlindungan sosial kepada pekerja bukan warganegara selari dengan amalan baik antarabangsa.
RUU KWSP diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahas lapan Ahli Parlimen.
Buat masa ini, pekerja bukan warganegara diberi pilihan untuk menyertai skim KWSP melalui konsep ‘once in-always in’, dengan kadar caruman ditetapkan sebanyak 11% peratus daripada kadar upah bulanan bagi syer pekerja dan hanya RM5 bagi syer majikan.
Setakat Dis 2024, hanya 22,635 atau 0.9% daripada 2.5 juta pekerja bukan warganegara memilih untuk mencarum secara aktif ke dalam KWSP.
“Perbezaan kadar caruman syer majikan turut menyumbang kepada situasi kos upah pekerja bukan warganegara menjadi lebih rendah berbanding pekerja tempatan,” kata Amir.