
Menurut Azmi Hassan dari Akademi Nusantara, Chow sebelum ini kelihatan tidak pasti tentang tahap sokongan kepadanya dalam DAP. Ketidakpastian itu mungkin mempengaruhi keputusannya untuk tidak bertanding pemilihan negeri pada September lalu.
Bagaimanapun, keinginan untuk mempertahankan kerusi CEC menunjukkan Chow kini percaya beliau mempunyai sokongan kuat di Pulau Pinang dan peringkat kebangsaan.

“Kedudukan dalam CEC penting kerana di situ semua keputusan besar untuk DAP dibuat. Saya percaya persepsi beliau tentang sokongan di peringkat kebangsaan mempengaruhi keputusan untuk bertahan dalam CEC,” katanya kepada FMT.
Azmi mencadangkan bahawa langkah Chow itu juga boleh menunjukkan kesediaan untuk bertanding PRU16.
“Langkah terbaru ini, bersama-sama dengan keputusan pimpinan Pakatan Harapan negeri untuk mengekalkan beliau sebagai ketua PH Pulau Pinang, berkemungkinan telah meningkatkan keyakinan beliau.
“Sebab itu beliau buat keputusan untuk bertahan dalam CEC, dan saya percaya dia meletakkan dirinya untuk bertanding dalam PRU akan datang,” katanya.
Pada 23 Feb, Chow mengesahkan akan bertanding pemilihan CEC pada 16 Mac, sambil berkata jawatan kepimpinan adalah penting kerana beliau masih ketua menteri.
Minggu lalu, Chow dikekalkan sebagai pengerusi PH Pulau Pinang sehingga 2028.
Sementara itu, Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia, melihat langkah Chow itu sebagai pragmatik, bertujuan untuk mengekalkan pengaruh di arena negeri dan negara.

“Chow nampaknya telah berubah hati dan menyedari kepentingan menjajarkan jawatan negeri dan parti agar dihormati akar umbi.
“Ini juga akan menghalang pemberontakan daripada pihak-pihak yang tidak berpuas hati,” katanya.
Tambahnya, Chow juga mungkin menggantikan ketiadaannya dalam kepimpinan peringkat negeri dengan memberi tumpuan pada peringkat nasional.