Sukar lulus RUU dana politik sebelum PRU16

Sukar lulus RUU dana politik sebelum PRU16

Menteri Azalina Othman Said kata kerajaan masih perlukan maklum balas mengenai RUU itu dalam banyak aspek.

azalina
Menurut Menteri Azalina Othman Said, satu perkara yang disepakati tentang RUU dana politik ialah penderma asing tidak boleh dibenarkan kawal Malaysia.
PETALING JAYA:
Menteri di Jabatan Perdana Azalina Othman Said akui bahawa sukar untuk meluluskan rang undang-undang (RUU) pendanaan politik sebelum PRU akan datang.

Menteri undang-undang dan reformasi institusi itu berkata kerajaan masih memerlukan maklum balas mengenai RUU itu dalam banyak aspek, terutama daripada ahli masyarakat sivil.

Ditemui pemberita di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia, beliau berkata kerajaan menganjurkan libat urus dengan pelbagai lapisan masyarakat di serata negara.

“Kami akan ke universiti bebas dan buat lebih banyak kajian berdasarkan isu berbangkit. Di beberapa negeri, kita akan buat ‘town hall’,” katanya.

Timbalan Menteri M Kula Segaran pada Nov 2024 berkata RUU itu masih dikaji oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi.

Azalina juga akui jawatankuasa tersebut dan Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia berdepan suatu kebuntuan dalam perbincangan berkaitan, yang kebanyakannya melibatkan pandangan pakar bidang.

“Mereka telah kaji. Masing-masing ada pandangan sendiri. Jadi, sekarang, kami buka ruang (kepada orang ramai dan parti politik). Kami minta parti politik hantar jawapan mereka secara bertulis,” katanya.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bulan lalu menggesa penggubalan undang-undang pendanaan politik disegerakan, dengan tumpuan awal diberikan pada pendanaan kempen pilihan raya.

Ketua Pesuruhjaya Azam Baki memberitahu Azalina supaya mula dengan kecil dan dengan projek permulaan.

Bagaimanapun, Azalina berkata kerajaan mesti dengar pandangan orang ramai, yang mungkin punyai pendapat berbeza mengenai perkara itu.

“Kita mesti mendengar pendapat rakyat. Rakyat semakin cerdik. Apabila mereka undi anda, mereka letak harapan yang tinggi,” katanya.

Menurut Azalina, satu perkara yang disepakati ialah penderma asing tidak boleh dibenarkan mengawal Malaysia.

Ditanya sama ada syarikat akan dimasukkan dalam perbincangan RUU ini, Azalina berkata ‘tidak’ dan menambah bahawa ‘penderma adalah penderma’.

“Penderma boleh jadi sesiapa sahaja. Penderma mungkin sebuah syarikat, seseorang atau NGO. Paling penting, penderma bukan orang asing atau pengaruh asing,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.