
Dalam laporan dibentangkan di Parlimen hari ini, PAC mendapati terma utama kontrak termasuk struktur bayaran tidak dimuktamadkan walaupun KDN telah mengeluarkan surat setuju terima (SST) pada 2018.
“Tuntutan daripada Bestinet berjumlah RM1.57 bilion adalah berdasarkan kiraan kerugian pendapatan Bestinet dan faedah dari 1 April 2018 hingga 31 Mei 2024 iaitu masing-masing bernilai RM1.32 bilion dan RM252 juta yang sepatutnya dikutip oleh Bestinet melalui sistem FWCMS,” kata Pengerusi PAC Mas Ermieyati Samsudin dalam kenyataan.
Beliau berkata, ia menyebabkan Bestinet mengemukakan tuntutan baharu sebanyak RM230 bagi setiap pekerja, membawa kepada rundingan di mana kerajaan bersetuju pada kadar RM215 bagi setiap pekerja — lebih dua kali ganda daripada RM100 dalam perjanjian asal.
Katanya, perjanjian itu juga termasuk lanjutan kontrak selama enam tahun hingga 31 Jan 2031.
“Caj kutipan bernilai RM215 adalah berdasarkan kepada RM130 untuk pemulihan dari 2018 hingga 2024 dan RM85 untuk kos pengoperasian 2025 hingga 2031 termasuklah kos ekuiti dan kos-kos operasi.”
November lalu, Mas Ermieyati berkata PAC akan memulakan prosiding berhubung perolehan sistem FWCMS KDN.
Pada Jun tahun itu, Putrajaya mengesahkan bahawa ia telah melanjutkan kontrak Bestinet yang dilanda kontroversi untuk menyediakan sistem IT bagi pengambilan pekerja asing.
Ia biarpun Laporan Ketua Audit Negara 2022, dikeluarkan pada tahun berikutnya, mendedahkan bahawa tiada perjanjian ditandatangani antara kerajaan dan Bestinet, yang bermakna hak Putrajaya tidak jelas.
Bestinet sebelum ini mempunyai kontrak enam tahun dengan KDN untuk membangunkan, membekal, menyediakan dan menyelenggara FWCMS, yang berakhir pada 31 Mei 2024.
Bagi mengelakkan isu lanjut, Mas Ermieyati berkata PAC menggesa KDN menjelaskan mekanisme kutipan caj dan kaedah pembayaran untuk Bestinet serta mengoptimumkan penggunaan FWCMS sehingga 2031.
“KDN haruslah meningkatkan kawalan keselamatan siber termasuk sistem dan data terhadap FWCMS memandangkan sistem ini diuruskan oleh syarikat Bestinet.
“Kerajaan perlu mematuhi sepenuhnya prosedur perolehan dan segala peraturan kerajaan berkaitan yang sedia ada dan sedang berkuat kuasa.