
“Secara prima facie, rayuan itu tidak menunjukkan dapat berjaya, dan permohonan untuk izin mengemukakan rayuan ditolak,” kata Hakim Nalini Patmanathan dalam alasan penghakiman yang dibacakan pada Isnin.
Usul itu difailkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), pendaftar mualaf Perlis, Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin dan kerajaan negeri.
Ketika membacakan keputusan sebulat suara mahkamah, Nalini berkata intipati rayuan yang mahu dibangkitkan pemohon melibatkan ketepatan dan kebolehgunaan keputusan mahkamah tertinggi itu dalam kes melibatkan M Indira Gandhi, tujuh tahun lalu.
“(Kes) Indira Gandhi memutuskan bahawa izin kedua-dua ibu bapa diperlukan untuk penukaran agama kanak-kanak bawah umur menjadi sah di sisi undang-undang.
“Dalam erti kata lain, apabila seorang kanak-kanak bawah umur ditukarkan agama secara unilateral (iaitu oleh seorang ibu atau bapa tanpa izin seorang lagi daripadanya), penukaran agama itu terbatal dan mesti diketepikan,” menurut hakim berkenaan.
Nalini berkata, jika mahkamah menerima hujah pemohon, ini akan menterbalikkan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Indira Gandhi dan menggalakkan amalan tidak berperlembagaan, iaitu penukaran agama secara unilateral, diteruskan.
“… (hakim bersara Mahkamah Persekutuan) Zainun Ali mengingatkan dalam Indira Gandhi bahawa penukaran agama secara unilateral dalam semua bentuk akan memudaratkan kebajikan kanak-kanak berkenaan,” menurut penghakiman itu.
Nalini berkata, ‘logik dan kekuatan dari segi duluan’ kes Indira Gandhi tidak dapat disangkal.
Beliau menolak hujah pemohon bahawa penukaran agama secara unilateral dibolehkan mengikut undang-undang, berdasarkan teks bahasa Malaysia dalam perlembagaan.
“Teks autoritatif perlembagaan adalah versi bahasa Inggeris. Seperti dijelaskan dalam Indira Gandhi, Yang di-Pertuan Agong belum menetapkan terjemahan bahasa Malaysia sebagai autoritatif seperti disyaratkan menerusi Perkara 160B Perlembagaan Persekutuan.”
Beliau turut menolak hujah pemohon bahawa penghakiman dalam kes Indira Gandhi patut dihadkan kepada wilayah-wilayah persekutuan.
“Kami tidak melihat asas untuk hujah ini kerana penghakiman dalam Mahkamah Persekutuan bagi kes Indira Gandhi, sepertimana semua penghakiman Mahkamah Persekutuan, mengikat seluruh negara,” katanya.
Nalini berkata, prinsip undang-undang ditekankan mahkamah tertinggi itu dalam kes Indira Ghandi turut terpakai dalam kes Loh, kerana fakta teras dalam kedua-duanya adalah sama.
“Sepertimana dijelaskan dengan ringkas oleh Mahkamah Rayuan, tiga kanak-kanak bawah umur telah ditukarkan agama dengan izin hanya seorang daripada ibu bapa mereka; justeru, Indira Gandhi menyatakan penukaran agama seperti itu adalah batal dan tidak sah ab initio (dari awalnya),” menurut penghakiman itu.
Nalini turut mengesahkan pendirian Mahkamah Persekutuan bahawa mahkamah sivil mempunyai bidang kuasa untuk menyemak tindakan pihak berkuasa yang menyentuh tafsiran perlembagaan serta statut.
“Keputusan yang dibuat oleh mahkamah syariah di luar bidang kuasa mereka boleh diketepikan mahkamah sivil,” katanya.
Pada 24 Mei tahun lalu, panel tiga hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, yang bersidang bersama Nalini serta Hakim Abu Bakar Jais, menolak permohonan untuk izin mengemukakan rayuan itu.
Semakan kes itu akan didengar pada 8 April.
Loh mengahwini M Nagahswaran pada 2008 yang ketika itu beragama Hindu. Mereka dikurniakan tiga anak – kembar perempuan yang lahir pada 2008, dan anak lelaki tiga tahun kemudian.
Antara Mac 2019 hingga Februari 2022, Loh terpisah daripada anak-anaknya selepas didera secara fizikal oleh Nagahswaran dan dipaksa keluar dari rumah kelamin.
Pada Disember 2019, Loh memfailkan perceraian, dan memperoleh perintah mahkamah interim sebulan kemudian yang memberikannya hak penjagaan penuh terhadap tiga anak itu. Bagaimanapun, Nagahswaran enggan mematuhi perintah berkenaan.
Pada 7 Julai 2020, Nagahswaran memeluk Islam dan cuba menukarkan agama tiga anaknya.
MAIPs kemudian mengesahkan kepada Loh bahawa tiga anak itu telah ditukarkan agama dengan izin bapa mereka, mengikut Seksyen 117(b) Enakmen Pentadbiran Islam Perlis yang didakwa mereka membenarkan perbuatan itu.
Loh gagal mengetepikan penukaran agama tiga anak bawah umur itu di Mahkamah Tinggi, tetapi berjaya di peringkat Mahkamah Rayuan.
Susulan itu, dua anak perempuannya yang kini berusia 17 tahun, dan anak lelaki yang kini 14 tahun, kekal menganut agama Hindu.